Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas PTD bakal didakwa di mahkamah Shah Alam pula
Diterbitkan:  Jan 23, 2026 8:34 AM
Dikemaskini: 12:34 AM

Bekas Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan akan didakwa sekali lagi, kali ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes pengubahan wang haram.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Muhammad Hafizuddeain dijangka disebut di hadapan hakim Mohd Nasir Nordin pada 9 pagi.

Semalam, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram bernilai lebih RM2.12 juta.

Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Azura Alwi.

Rabu lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan Muhammad Hafizuddeain dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur.

Menurut SPRM bekas pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu turut akan didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

Isterinya pula akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.

Menerusi Op Parasit, SPRM pada 7 Jan lepas menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Angkatan Tentera Darat.

Keesokan harinya pegawai terbabit direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman selama tiga dan enam hari.

Siasatan SPRM berkaitan kes itu bermula sejak 7 Okt 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.

Pada 23 Dis 2025 pula, sepasukan pegawai SPRM hadir di Kementerian Pertahanan untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.

Sementara itu, pada Khamis media melaporkan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM ditahan SPRM, bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam selain dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera dan Kementerian Pertahanan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS