PKR: K'jaan tidak mampu lagi beri subsidi petrol
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa kerajaan mahu menaikkan harga minyak setelah Petronas membelanjakan terlalu banyak wang untuk projek mega yang tidak memberi keuntungan rakyat.
Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR), William Leong berkata, berikutan itu kerajaan tidak mampu lagi memberi subsidi petrol dan terpaksa menaikkan harga minyak.
"Antara projek yang menggunakan wang Petronas ialah Putrajaya, Menara Kembar Petronas, Litar Sepang dan Monsoon Cup di Terengganu.

"Petronas juga telah menyelamatkan beberapa projek termasuk Bank Bumiputera dan memberi subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) walaupun ia projek swasta," katanya dalam sidang media mingguan PKR di ibu negara hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Penerangan PKR, Tian Chua dan Timbalan Setiausaha Agung, Xavier Jeyakumar.
William yang juga seorang peguam berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa negara akan bankrap jika kerajaan menjual harga minyak dengan harga yang rendah.
Mohd Najib juga berkata, jika harga minyak rendah kerajaan terpaksa meminjam untuk melaksanakan projek pembinaan bangunan dan jambatan.
Sebaliknya, kata William, kerajaan tidak akan bankrap jika tidak menggunakan wang Petronas untuk melaksanakan projek-projek mewah yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Nilai perbelanjaan
"Petronas dilaporkan mendapat keuntungan RM42 bilion tahun lalu dan subsidi yang dikeluarkan ialah RM9.76 bilion," katanya.
Pada masa yang sama, William juga meminta kerajaan mendedahkan perbelanjaan sebenar dalam menguruskan wang Peronas sejak tahun 1974.
Katanya, biar rakyat tahu dan menilai perbelanjaan yang telah dibuat ke atas wang tersebut yang selama ini dikawal oleh Perdana Menteri.
Sementara itu, Jeyakumar berkata, kerajaan perlu melihat dan menilai pendapat rakyat sebelum mengambil keputusan menaikkan harga minyak.
"Boleh ikut contoh Singapura. Harga minyak di republik tersebut tinggi tetapi bandingkan pendapatan rakyatnya," katanya.
Jeyakumar juga mendakwa, kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan kurang RM3,000 sebulan dan kerana itu tidak adil kerajaan membebankan mereka dengan menaikkan harga minyak.
Katanya, rakyat sangat bergantung harap kepada petroleum kerana kehidupan harian mereka bergantung kepada bahan mentah itu.
Beliau mendakwa, daripada begitu banyak projek mega yang dilaksanakan di negara ini, hanya dua peratus rakyat yang mendapat manfaat..