Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meminda dasar bagi membolehkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan menduduki hanya kertas Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan SPM, kata Anthony Loke.
Berucap pada majlis penyerahan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina di Sekolah Menengah Pay Fong, Melaka hari ini, Loke berkata mesyuarat kabinet semalam memutuskan bahawa mana-mana pelajar yang mendapat kepujian dalam matapelajaran tersebut layak memohon ke universiti awam.
Setiausaha Agung DAP itu turut memaklumkan bahawa peraturan sedia ada mengkehendaki calon menduduki sekurang-kurangnya enam mata pelajaran untuk mengambil SPM.
Sehubungan itu, KPM akan menyemak semula dasar tersebut bagi membenarkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan, termasuk sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan sekolah agama, menduduki hanya dua mata pelajaran berkenaan.
Mengenai butiran pelaksanaannya, Loke berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan mengadakan pertemuan dengan Dong Zong pada Isnin untuk perbincangan lanjut, dan selepas itu akan mengeluarkan satu kenyataan bersama.
“Mana-mana pelajar akan dibenarkan, bukan sahaja pelajar sekolah menengah persendirian Cina atau mereka yang menduduki UEC, tetapi juga pelajar dari sekolah agama, termasuk institusi tahfiz, serta sekolah antarabangsa.
“Jika mereka ingin memasuki universiti awam tempatan, mereka akan dibenarkan menduduki hanya dua mata pelajaran ini: Bahasa Melayu dan Sejarah,” kata Loke.
Ahli Parlimen Seremban itu turut menegaskan bahawa perincian berkaitan pelaksanaan dasar pendidikan tinggi tersebut masih perlu diperhalusi, dan dasar itu bukan hasil gimik politik.
“Kami tidak mengatakan bahawa selepas membuat pengumuman, maka semuanya selesai. Dalam isu ini, saya ingin menegaskan bahawa kami tidak berpolitik. Kami memahami bahawa ini adalah satu misi yang dikongsi bersama oleh semua pihak, khususnya masyarakat Cina Malaysia, ia bukan soal politi.
“Ini adalah tanggungjawab bersama dan misi kolektif seluruh masyarakat Cina. Tidak penting siapa yang melaksanakannya, atau kerajaan mana yang mencapainya, itu bukan perkara utama.
“Apa yang penting ialah pelajar UEC akan mempunyai satu lagi laluan di Malaysia pada masa hadapan. Itulah yang benar-benar penting,” tambah Loke.
Tangani penghijrahan bakat
Dia berkata UEC diiktiraf oleh lebih 200 universiti terbaik dunia, membolehkan lulusannya melanjutkan pengajian ke luar negara, namun tidak ke universiti awam tempatan, sekali gus menyebabkan penghijrahan bakat.

“Apa yang dikesalkan ialah mereka boleh pergi ke mana-mana sahaja di dunia untuk melanjutkan pengajian, tetapi tidak boleh memasuki universiti awam negara sendiri. Itu tidak dapat dipertahankan.
“Oleh itu, apa pun keadaannya, isu ini mesti diselesaikan sepenuhnya. Kita bukan lagi di peringkat akhir, sebaliknya sudah berada di pintu universiti dan perlu memastikan ia berjaya dilaksanakan
“Universiti awam mesti menerima pelajar UEC. Ini adalah misi dan tanggungjawab kolektif kita, dan saya berharap kita dapat menyempurnakan usaha ini,” tegasnya.
‘Tidak wajib duduki SPM’
Dalam sidang media selepas itu, Loke sekali lagi menegaskan bahawa ketika ini tiada keperluan yang mewajibkan semua pelajar menduduki peperiksaan SPM.
“Jika seorang pelajar UEC ingin memasuki universiti awam tempatan, maka mereka perlu memenuhi keperluan dua mata pelajaran ini.
“Jika mereka tidak bercadang untuk memasuki universiti awam tempatan, atau tidak berniat memohon, maka tiada keperluan. Jadi, bukan semua orang mesti menduduki SPM.
“Jika UEC diterima sebagai salah satu syarat kemasukan ke universiti, maka ia sememangnya setara dengan A Levels,” katanya.

Ketika ditanya apakah lulusan UEC boleh memasuki perkhidmatan awam, Loke berkata isu asasnya tetap berkaitan dengan sama ada pelajar diterima masuk ke universiti tempatan atau sebaliknya.
“Isu paling asas ialah sama ada mereka boleh memasuki universiti tempatan. Sebagai contoh, jika anda mahu menjadi penjawat awam, kelayakan utama ialah ijazah universiti," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Dong Zong, Tan Yew Sing, dalam ucapannya berkata pengumuman perdana menteri telah membuka satu laluan untuk pelajar UEC memasuki universiti awam, namun kerajaan persekutuan tidak pernah menyebut secara jelas tentang “pengiktirafan UEC”.
Jelasnya pengiktirafan UEC merangkumi pelbagai aspek, termasuk kemasukan ke universiti, penyertaan dalam perkhidmatan awam, kelayakan biasiswa dan akses kepada sumber pendidikan, serta menggesa kerajaan persekutuan mengambil contoh daripada kerajaan Sarawak.

“Dengan hala tuju semasa, masih ada sedikit harapan, dan kami akan berinteraksi secara proaktif dengan Kementerian Pendidikan untuk membincangkan perinciannya,” katanya.
Pada peringkat ini tambah Yew Sing, ada perkara-perkara masih belum jelas, tetapi sekurang-kurangnya ada satu laluan untuk diterokai dan dikembangkan.
“Namun, ini tidak bermakna kami berpuas hati dengan keadaan semasa, kerana apa yang dibincangkan sekarang tidak mencapai piawaian, dan juga tidak memenuhi jangkaan kami terhadap pengiktirafan penuh UEC,” katanya.
