Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menamatkan kemarau kejuaraan sejak kali terakhir menjuarai Terbuka India pada Januari tahun lalu apabila merangkul gelaran Masters Indonesia 2026 di Jakarta, hari ini.
Gandingan ranking kesembilan dunia itu menampilkan permainan berkualiti untuk menundukkan pasangan tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 21-19, 21-13 dalam tempoh 37 minit pada aksi final yang berlangsung di Istora Senayan.
Kejayaan itu sekaligus melengkapkan gelaran hatrik buat Malaysia pada kejohanan berkenaan selepas kejayaan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah sebentar tadi.
Ia juga merupakan gelaran pertama Sze Fei-Nur Izzuddin pada tahun ini selepas terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia dan Terbuka India, awal bulan ini.
Selaku juara, Sze Fei-Nur Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah ASD39,500 (RM158,217) manakala Raymond-Nikolaus terpaksa berpuas hati dengan ASD19,000 (RM76,104).
-Bernama
