Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi persoal kesahihan penurunan kadar defisit negara

PARLIMEN | Rafizi Ramli (PH-Pandan) hari ini mempersoalkan jika kelewatan membayar balik cukai yang terlebih bayar sejak 2020 telah menyumbang kepada persepsi kejayaan kerajaan dalam mengurangkan defisit fiskal.

Disebabkan amalan perakaunan tunai kerajaan, kata bekas menteri ekonomi itu, hasil cukai yang diisytiharkan dalam belanjawan negara setiap tahun tidak menolak lebihan bayaran yang mesti dibayar semula kepada pembayar cukai.

"Sebenarnya kalau kita pulangkan balik dan bayar seperti yang sepatutnya, defisit (negara) kita tidak menurun," katanya semasa membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Dengan mengambil kira lebihan bayaran itu, kata Rafizi, defisit fiskal negara sepatutnya berada pada sekitar 5.8 hingga 6.0 peratus pada 2024, dan bukannya 4.1 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini.

Dia juga membangkitkan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak komitmen pembayaran balik cukai kerajaan persekutuan pada setiap tahun.

Merujuk kepada penyata kewangan kerajaan persekutuan untuk 2024, Rafizi berkata, bayaran balik cukai berjumlah RM14.6 bilion pada 2020 telah meningkat kepada RM21.8 bilion pada 2021, diikuti RM25.7 bilion pada 2022, dan RM25.5 bilion setahun kemudian.

Pada 2024 pula kata Rafizi, bayaran balik cukai itu berjumlah RM33.3 bilion.

Berdasarkan trend itu, katanya. bayaran balik untuk 2025 berkemungkinan lebih besar daripada RM33.3 bilion.

"Kenapa Kementerian Kewangan - baik semasa pentadbiran PN dari 2020 sehinggalah sekarang di bawah kerajaan Madani - tidak memulangkan kembali cukai yang terlebih dikutip daripada rakyat dan syarikat kita sehingga ia melonjak menjadi RM33.3 bilion dalam tempoh empat tahun saja, iaitu peningkatan 128 peratus?" katanya.

Rafizi seterusnya mempersoalkan sama ada masalah kelewatan pembayaran balik cukai itu berpunca daripada kecuaian semata-mata atau melibatkan keputusan yang disengajakan bagi memberi gambaran bahawa kerajaan mencapai sasarannya dalam mengurangkan defisit fiskal.

Pada 7 Jan lalu bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata pembayar cukai yang membayar lebih daripada sepatutnya perlu diberi pampasan sebanyak 2 peratus setahun atas jumlah tersebut berdasarkan Seksyen 111D Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Jika bayaran balik cukai tertunggak adalah RM30 bilion menjelang akhir tahun 2024, ini bermakna bayaran pampasan 2 peratus setahun yang mesti dibayar ialah RM600 juta.

"Memandangkan jumlah tertunggak ialah untuk lima tahun sejak 2020 dan berbeza mengikut tahun, kemungkinan besar pembayaran pampasan terkumpul sejak 2020 jauh lebih besar daripada RM1 bilion," katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, kadar tersebut terpakai kepada pembayar cukai individu dan syarikat.

Bulan lalu, Bernama melaporkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim sebagai berkata bahawa kerajaan telah menggandakan peruntukan bayaran balik cukai kepada RM4 bilion.

Dia juga berkata kerajaan sedang menyemak semula jumlah tersebut dan akan menentukan sama ada ia perlu ditingkatkan atau tidak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS