mk-logo
Berita
Peruntukan pembangkang: PN ‘tuntut di akhirat saja’

PARLIMEN l Isu ketiadaan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sekali lagi disuarakan di Dewan Rakyat hari ini namun kali ini dengan nada penuh sindiran.

Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata wakil rakyat pembangkang tidak lagi bercadang menuntut peruntukan tersebut daripada kerajaan, sebaliknya akan menuntutnya “di akhirat”.

Ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Ismi berkata isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang telah berulang kali dibangkitkannya sebelum ini, namun masih belum menemui sebarang penyelesaian.

“Saya nak sebut tentang satu perkara iaitu peruntukan ahli parlimen.

“Dah berbuih mulut saya setiap kali berbahas saya sebut tentang peruntukan ahli parlimen ini namun masih tak ada lagi juga,” katanya.

Menurut Ismi, keadaan itu menyebabkan dia merasakan tiada lagi keperluan untuk terus membangkitkan tuntutan berkenaan di Dewan Rakyat.

“Jadi, saya rasa selepas ini saya tak nak sebut dah. Kami (pembangkang akan) tuntut di akhirat saja senang, peruntukan yang patut diberikan. Tuntut di akhirat saja senang. Tak payah minta-minta lagi, jenuh dah berbuih mulut saya,” katanya lagi.

Isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang terus menjadi perdebatan berpanjangan sejak pembentukan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Sebelum ini, kerajaan menyatakan kesediaan menyalurkan peruntukan secara bersyarat, termasuk melalui memorandum persefahaman (MOU) yang memerlukan sokongan terhadap beberapa dasar kerajaan serta pengisytiharan aset.

Namun, parti-parti pembangkang menegaskan peruntukan kawasan merupakan hak rakyat dan tidak wajar dijadikan alat politik atau dikaitkan dengan sokongan kepada kerajaan semasa.

Sehingga kini, masih belum wujud mekanisme menyeluruh yang dipersetujui kedua-dua pihak, menyebabkan wakil rakyat pembangkang terus tidak menerima peruntukan pembangunan bagi kawasan masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS