PARLIMEN | Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pilihan alternatif dalam isu penternakan babi tempatan, termasuk mengimport daging babi dari luar negara.

“Tak payah bela, kita import saja. Import babi golek atau babi potong seperti ayam.

"Di Singapura, orang lebih ramai makan babi tetapi mereka tidak menternaknya dan keadaan itu lebih selamat,” kata wakil rakyat Bersatu itu ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Kalam, kontroversi berkaitan penternakan babi di negara ini tidak pernah menemui titik penyelesaian kerana setiap cadangan lokasi sentiasa berdepan bantahan penduduk setempat.

Dia berkata situasi itu dapat dilihat dalam beberapa kes sebelum ini, termasuk di Kuala Langat di Selangor, Bukit Pelanduk di Negeri Sembilan, Benut di Johor serta Kampung Baru Cina, yang semuanya menunjukkan isu penerimaan masyarakat terhadap penternakan babi masih berlarutan.

Katanya, keadaan tersebut menggambarkan cabaran berterusan dalam mengurus industri penternakan babi di Malaysia, sekali gus menuntut pendekatan baru yang lebih pragmatik.

Dalam pada itu, Kalam berkata masalah bau sebenar bukan berpunca daripada haiwan itu sendiri, sebaliknya pengurusan ladang dan kandang yang didakwa tidak teratur.

“Saya ada kebun dan di kebun saya memang banyak babi hutan, 15 hingga 20 ekor sekali masuk.

‘Teringin’ makan tapi agama larang

"Babi itu sendiri tak busuk, memang tak busuk. Yang busuk ialah kandang dan cara penyelenggaraannya,” katanya.

Pada masa sama, Kalam menegaskan larangan Islam terhadap pengambilan daging babi tidak seharusnya diterjemahkan kepada sikap menghina pilihan makanan penganut agama lain.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya pun teringin nak makan babi dan binatang lain. Kita hidup cuma sekali. Tapi agama saya melarang, sebab itu saya tak makan.

"Sama seperti biawak dan ular, saya teringin tetapi saya tak makan kerana larangan agama,” katanya.

Tambahnya, perbezaan budaya dan selera makanan perlu ditangani dengan sikap saling menghormati, memandangkan banyak makanan lain juga mempunyai bau yang dianggap kuat namun tetap digemari.

“Budu walaupun (didakwa) 'busuk', dia sedap sebab itu kita makan. Banyak lagi yang 'busuk-busuk' tapi sedap,” katanya.

Untuk rekod, pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Sementara itu, Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut dilaporkan mengesyorkan supaya projek penternakan babi berpusat di Bukit Tagar yang mencetuskan kebimbangan penduduk setempat dibatalkan sementara atau dipindahkan ke kawasan lain yang lebih sesuai.

Susulan perkembangan itu, Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk menggantung sementara projek berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat sementara kerajaan negeri mencari lokasi baru yang lebih sesuai.

Selain itu, kerajaan negeri juga kata Amirudin akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha ternakan serta memberikan penjelasan kepada semua pihak berhubung salah faham yang timbul.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS