Sejak berkurun-kurun lamanya, penganut Sikhs telah menggunakan kalimah 'Allah' dan 'Rahim' untuk merujuk kepada Tuhan serta istilah Arab "iman" dan "ibadat" dalam agama mereka.

Berikutan keputusan kabinet melarang semua agama, kecuali Islam, daripada menggunakan kalimah "Allah", maka apa akan jadi terhadap amalan Sikhs di Malaysia?

Ini adalah antara persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Majlis Gurdwara Malaysia, Harcharan Singh ketika mengulas keputusan kabinet tersebut.

“Kami telah menggunakan perkataan Allah dan Rahim, misalnya, secara meluas dalam penulisan kami dan sembahyang kami untuk merujukkan kepada Satu Tuhan. Perkataan Allah digunakan dalam kitab suci utama kami. Para guru Sikh di India telah menggunakan istilah tersebut sejak berkurun-kurun lamanya, mereka telah menjadi sebahagian daripada bahasa Punjabi, dan kami masih menggunakannya hingga ke hari ini," kata Harcharan ketika dihubungi.

Sikhs juga menggunakan perkataan ‘Khuda’ bagi Tuhan, katanya merujuk kepada istilah yang digunakan, antara lain, oleh umat Islam Bangladesh.

“Sebagai tambahan kepada perkataan-perkataan ini, kami juga menggunakan istilah iman dan ibadat (yang digunakan oleh umat Islam)," tambah Harcharan.

“Jika perkataan Allah dilarang digunakan oleh bukan Islam, apa akan jadi dengan Silks dan amalan keagamaannya?" soalnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdulllah Mohd Zin berkata kabinet tidak membenarkan akhbar Katholik - Herald - menggunakan perkataan Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah dalam seksyen Bahasa Malaysia akhbar tersebut.

Abdullah yang bertanggungjawab terhadap halehwal agama Islam dilaporkan berkata, perdana menteri telah mengarahkan beliau menjelaskan perkara itu supaya orang ramai tidak terkeliru.

Salah satu sebabnya, tambah beliau, ialah orang Islam di negara ini telah lama menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

Oleh itu, menurutnya, adalah lebih bersesuaian bagi agama lain menggunakan perkataan Tuhan dan bukannya Allah apabila merujuk kepada Tuhan dalam agama masing-masing.

Istilah bahasa Arab

Harcharan (foto) berkata, penggunaan istilah Arab dan Parsi terdapat dalam agama Silks kerana pengasas Sikhisme, Guru Nanak menjelajah secara meluas ke seluruh negara Islam.

“Saya tidak tahu sama ada larangan kerajaan terhadap penggunaan perkataa Allah oleh bukan Islam itu atas alasan politik atau agama. Tetapi jika di zaman globalisasi ini kita menghalang orang dari satu agama daripada menggunakan perkataan "milik' agama lain, saya tidak tahu ke mana kita sedang menuju...," katanya.

Herald sebelum ini diarahkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) supaya jangan menggunakan kalimah Allah dalam seksyen Bahasa Malaysianya.

Herald kemudiannya dimaklumkan bahawa permit penerbitannya telah diperbaharui dan editornya Father Lawrence Andrew berkata beliau menerima sepucuk surat yang membayangkan pihaknya boleh meneruskan penerbitan akhbar tersebut tanpa larangan menggunakan perkataan Allah.

Penerbitnya sebelum ini telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan berhubung penggunaan perkataan Allah. Berita asal