mk-logo
Berita
Video 'skandal rasuah' - Albert Tei cabar PM lapor ke polis

Ahli perniagaan Albert Tei mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mencontohi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, dengan membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dalam sebuah video yang mengaitkannya dengan skandal perlombongan Sabah.

Tei berkata Anwar masih belum memberi sebarang respons terhadap dakwaan yang dibangkitkan dalam video berkenaan yang tular pada November tahun lalu, yang sebelum ini telah menyaksikan setiausaha politik Anwar ketika itu, Shamsul Iskandar Akin, diseret ke mahkamah.

“Dalam video bersama Sofia Rini (Buyong), bukan saya yang menuduh Azam. Dia yang menuduh Azam.

“(Dialah yang berkata) Shamsul Iskandar bertemu Azam. (Menyebut) Azam yang memberi perlindungan dan layanan istimewa kepada Shamsul Iskandar kerana Anwar terlibat,” katanya kepada pemberita di luar Bukit Aman hari ini.

Tei turut menegaskan walaupun Azam menjadi tokoh utama dalam dakwaan Sofia, setakat ini tiada siasatan diambil terhadap ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Peguamnya, Mahajoth Singh, pula mempersoalkan pendirian bercanggah pihak berkuasa berhubung dakwaan Sofia.

Katanya, walaupun SPRM menganggap Sofia sebagai saksi utama dalam kes rasuah terhadap Shamsul, polis pada masa sama menyiasat dakwaan Sofia terhadap Azam sebagai fitnah.

“Saya fikir ini satu perkara yang sangat menarik dan sangat serius yang kini kerajaan perlu jawab.

“Anda tidak boleh, pada satu pihak mengatakan Sofia saksi utama dan pada pihak lain pula mengatakan apa yang dia sebut (pasal Azam itu) adalah fitnah.

"Ia melangkaui logik dan akal sihat, kerana dia orang yang sama,” katanya.

Tei dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis berkaitan video berkenaan, dengan Sofia – yang didakwa sebagai proksi Shamsul – kononnya memberitahu Tei bahawa Shamsul telah meminta Azam untuk “melonggarkan kesnya”.

Dalam rakaman video itu, apabila Tei bertanya jika Shamsul memberitahu ketua pesuruhjaya SPRM itu bahawa rakaman skandal Sabah berkenaan merupakan “arahan PMX”, Sofia menjawab: “Azam tahu”.

Sofia kemudiannya menafikan dia bertindak sebagai proksi Shamsul.

Walaupun mengakui bertemu Tei pada 5 November tahun lalu, Sofia berkata Tei telah menyebarkan pembohongan tentang dirinya.

Sementara itu, peguam Tei, N Surendran berkata soal siasat terhadap Tei hari ini dijalankan oleh Unit Jenayah Terklasifikasi Bukit Aman di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, manakala Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah jenayah.

Surendran mengkritik penggunaan Seksyen 500 Kanun Keseksaan, dengan menyatakan bahawa pegawai kerajaan yang merasakan diri mereka difitnah sepatutnya memfailkan saman fitnah di mahkamah sivil, bukannya menggunakan sumber polis untuk menahan individu.

“Kenapa jika ia melibatkan pegawai kanan kerajaan, atau katakan seorang menteri, mereka tidak perlu menggunakan tindakan fitnah sivil? Mereka hanya boleh meminta polis menyiasat.

“Adakah itu cara ia berfungsi sekarang di negara ini? Dalam erti kata lain, perkara ini tidak betul,” katanya.

Surendran turut mengkritik ibu pejabat polis Bukit Aman atas ketidakcekapan, mendakwa proses mendapatkan pas masuk untuk rombongan mereka mengambil masa selama 45 minit.

Katanya, kelewatan itu sebahagiannya berpunca daripada prosedur seperti merekod butiran kad pengenalan dan penggunaan kod QR, yang menurut pasukan guaman tersebut amat tidak cekap bagi sebuah ibu pejabat agensi penguatkuasaan.

Dia menuntut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dan Ketua Polis Negara Khalid Ismail memberi penjelasan berhubung perkara itu.

“Mereka tidak menyediakan sebarang perkhidmatan kenderaan ulang-alik. Kami mengambil masa yang lama hanya untuk berjalan jauh ke dalam Bukit Aman, naik dan turun bukit, untuk sampai ke bilik rakaman kenyataan, kemudian berjalan semula keluar.

“Ini perkara yang sangat serius kerana ini Bukit Aman. Ini ibu pejabat polis negara.

“Jika tahap kecekapan di sini begini, bolehkah anda bayangkan di tempat lain? Jadi, kami sebagai warga yang prihatin, peguam hak asasi manusia dan aktivis awam, juga mahukan penjelasan daripada menteri dalam negeri dan KPN,” katanya.

Tei menjadi tokoh utama dalam skandal perlombongan Sabah selepas mendedahkan beberapa siri video bocor yang mengaitkan lebih 15 ahli politik dan pemimpin negeri Sabah dengan dakwaan rasuah pada November 2024.

Pada 4 Disember tahun lalu, Tei didakwa memberi rasuah kepada Shamsul manakala Shamsul pula didakwa menerima rasuah daripada ahli perniagaan itu.

Shamsul dituduh menerima sogokan berjumlah RM176,830 ketika berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar bagi membantu syarikat Tei mendapatkan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Disember dan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 5 Disember.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS