Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kurniawan ikrar teruskan aspirasi ayahanda Bung Moktar

PARLIMEN | Ahli Parlimen Kinabatangan yang baru, Mohd Kurniawan Naim Moktar, hari ini berikrar untuk meneruskan perjuangan dan aspirasi allahyarham bapanya, Bung Moktar Radin serta bertekad memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.

Dalam ucapan sulungnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, wakil rakyat Umno itu merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan BN serta Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor atas sokongan, kepercayaan dan bimbingan yang diberikan kepadanya.

Dia turut menzahirkan penghargaan kepada jentera parti, sukarelawan dan petugas di semua peringkat yang disifatkan telah bekerja siang dan malam bagi memastikan kejayaan di Parlimen Kinabatangan.

“Saya akan meneruskan perjuangan dan aspirasi ayahanda tercinta dengan penuh rasa rindu dan penghargaan atas segala pengorbanan serta didikan dia.

“Dan dengan rendah hati, saya berjanji akan memikul amanah dan tanggungjawab ini sebaik mungkin, memperjuangkan suara rakyat dan bekerja keras demi pembangunan kesejahteraan (kawasan parlimen) Kinabatangan,” katanya.

Mohd Kurniawan Naim berkata dia akan sebaik mungkin menggalas amanah sebagai ahli parlimen bagi memastikan suara rakyat terus diperjuangkan serta pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Kinabatangan diberi keutamaan tanpa ada mana-mana kelompok yang tercicir daripada arus kemajuan.

Dia juga mengambil kesempatan merakamkan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan Allahyarham Bung Moktar, termasuk daripada blok kerajaan dan pembangkang, atas kebaikan serta kerjasama yang diberikan sepanjang perkhidmatan ayahandanya sebagai ahli parlimen.

“Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas kebaikan semua. Patah tumbuh hilang berganti amanat Kinabatangan akan kusimpan sampai mati,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Kurniawan Naim menegaskan kejayaan di Parlimen Kinabatangan mencerminkan keberkesanan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Sabah yang melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri dan nasional.

Katanya, semangat perpaduan yang mengetepikan perbezaan politik demi kesejahteraan rakyat terbukti menjadi asas kekuatan dan kunci kepada sokongan padu masyarakat setempat.

“Bak kata pepatah Melayu, serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Di Kinabatangan, kemenangan (BN-PH) ini menjadi bukti jelas bahawa apabila kita mengepikan perbezaan dan bersatu di bawah satu matlamat, iaitu demi kesejahteraan rakyat, hasilnya adalah sokongan padu daripada masyarakat.

“Perpaduan inilah yang menjadi kunci kejayaan dan kerjasama inilah yang mengangkat aspirasi rakyat menjadi realiti,” tambahnya.

Mohd Kurniawan turut menyentuh kemajuan kerajaan dalam melaksanakan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain mengemukakan cadangan bagi menangani kekurangan bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar Kinabatangan.

Mohd Kurniawan Naim mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat pada Isnin selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada Sabtu lalu dengan majoriti besar 14,214 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Dia menewaskan calon Warisan, Saddi Abdul Rahman, yang memperoleh 5,638 undi manakala calon bebas Goldam Hamid meraih 946 undi.

PRK Parlimen Kinabatangan diadakan susulan kematian penyandangnya- yang juga bapa kepada Mohd Kurniawan - Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS