mk-logo
Berita
‘Surat bocor’ cetus semula gesaan Muhyiddin letak jawatan presiden Bersatu

Gesaan agar Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berundur semakin memuncak menjelang pertemuan antara pimpinan tertinggi PN di kediaman bekas perdana menteri itu yang dijangka diadakan malam ini.

Ia susulan surat-menyurat yang bocor semalam antara Muhyiddin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mendedahkan kedua-dua pemimpin itu berbeza pandangan mengenai hala tuju kepimpinan PN.

Sejak itu, dua bekas pemimpin Bersatu – Ahli Parlimen Temerloh, Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan – serta Ahli Parlimen Machang yang digantung, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, masing-masing menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan.

Ketika ditemui di Parlimen hari ini, Saifuddin berkata respons Hadi terhadap Muhyiddin menjadi “sebab tambahan” untuk bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Dia berkata persoalan utama adalah kaundngan surat tersebut, bukannya siapa yang membocorkannya.

“Soalnya ialah apabila Muhyiddin mengeluarkan surat kepada presiden-presiden parti gabungan yang lain, bercerita tentang pertemuannya dengan Presiden PAS, termasuk benda yang tak dibincangkan.

“Ia menyebabkan Hadi perlu jelaskan keadaan, dan itulah yang dilakukannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin Abdullah

Antara lain, Muhyiddin dalam suratnya yang turut dihantar kepada presiden-presiden parti komponen PN, merujuk kepada satu “kesepakatan” yang didakwa dicapai dalam pertemuan pada 16 Januari dengan Hadi dan pimpinan PAS lain di kediamannya, bagi menyelesaikan isu yang timbul susulan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN.

Muhyiddin mendakwa persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan Majlis Presiden yang diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif yang diketuai PAS, serta memansuhkan jawatan pengerusi PN.

Bagaimanapun, Hadi dalam surat yang didakwa sebagai jawapannya kepada Muhyiddin, menyatakan bahawa apa yang dicadangkan oleh pemimpin Bersatu itu tidak pernah dibincangkan mahupun dipersetujui.

‘Adakah Muhyiddin bohong?’

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata: “Pada saya, boleh sahaja seorang pemimpin dari parti A berkata ‘saya rasa kita patut buat begini’ dan pemimpin parti B mencadangkan ‘sebaliknya, kita patut buat begini begini’. 

“Pada saya itu bukan benda rahsia. Rahsia adalah soal macam mana nak menang pilihan raya? Itu rahsia. Itu tak perlu diketengahkan.

“Jadi ini bukan soal pembocoran rahsia. Ini soal perdebatan tentang bagaimana nak menguruskan PN dan bagaimana Muhyiddin menipu. Itu cerita dia.

“Inilah masalah yang ada kaitan dengan gesaan agar Muhyiddin meletak jawatan,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful mempersoalkan jika Muhyiddin telah “berbohong” dalam suratnya kepada Hadi dan presiden-presiden parti komponen PN lain.

Penafian yang dibuat oleh Presiden PAS amat signifikan. Ia membawa kepada persoalan adakah Muhyiddin sudah terlalu terdesak sehingga sanggup mencipta cerita bohong untuk berpaut di takhta kuasa,” dakwa Wan Saiful.

Jika Muhyiddin didapati berbohong, kata Wan Saiful lagi, persoalan lanjut juga boleh dibangkitkan mengenai kenyataan-kenyataannya sebelum ini kepada Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu.

Dalam keadaan sebegini, jika Muhyiddin sayangkan Bersatu, dia mesti menyelamatkan imej Bersatu dengan cara meletak jawatan sebagai presiden.

“Jika tidak, Muhyiddin akan terus menjadi liabiliti kerana rakyat akan mengatakan Presiden Bersatu seorang pembohong,” katanya lagi.

‘Cemar imej parti’

Wan Ahmad Fayshal pula mendakwa tindakan Muhyiddin boleh mencemarkan imej PN di mata rakyat dan merosakkan hubungan dengan parti-parti komponen lain, khususnya PAS.

“Sebagai presiden, Muhyiddin pastinya tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh Lembaga Disiplin atas  keputusan dan tindakannya. 

“Namun atas kepentingan parti dan rakan-rakan komponen, dia harus mengambil tanggungjawab moral untuk melonjakkan keyakinan rakyat terhadap Bersatu dan PN.

Maka, saya sekali lagi memohon dengan penuh rasa tanggungjawab untuk Muhyiddin berundur secara terhormat sebagai Presiden Bersatu demi kelangsungan Bersatu dan PN,” kata bekas Ketua Pemuda Bersatu itu.

Dalam satu hantaran di Facebook, ketua penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz hari ini mengesahkan kesahihan surat Muhyiddin itu dan menyasarkan seorang individu yang didakwa sebagai orang pertama membocorkannya seawal jam 11.26 pagi semalam.

Terdahulu hari ini, timbalan setiausaha agung PN Takiyuddin Hassan berkata pertemuan “pramajlis” Muhyiddin malam ini, sebagai ganti kepada mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN yang kini dibatalkan, adalah “tidak berperlembagaan”.

Dia berkata walaupun perlembagaan PN memperuntukkan pembentukan sebuah “majlis presiden”, badan tersebut tidak pernah ditubuhkan.

Setiausaha agung PAS itu turut mengulangi bantahan Hadi seperti yang dibangkitkan dalam surat kepada Muhyiddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS