Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
200 veteran tentera sertai AKPS suku pertama tahun ini
Diterbitkan:  Feb 3, 2026 5:50 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Kira-kira 200 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka menyertai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bermula suku pertama tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya ketika ini sejumlah perjawatan veteran ATM bagi kemasukan ke AKPS diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan prosesnya akan dijalankan dalam masa terdekat.

“(Kemasukan) 200 (veteran) bagi permulaan dan saya percaya kalau ini dapat dibuat, ia berbeza dengan kita ambil anggota baru ataupun kita ambil anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia atau Jabatan Imigresen Malaysia.

“Dia (veteran ATM) ada skil tertentu, idealnya kita harap suku tahun pertama ini kita dapat sempurnakan,” katanya pada sidang media selepas sesi menteri bersama warga AKPS di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah AKPS Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Saifuddin Nasution berkata pengambilan itu akan melibatkan bekas anggota dari ketiga-tiga cabang pasukan tentera.

“Mereka adalah aset yang unik yang akan membantu dari segi sumber manusia AKPS.

“Bekas tentera akan bermula dengan umur minimum 38 tahun, sasaran kita mereka masih kemas bertenaga,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Shuhaily berkata AKPS akan memulakan pengambilan 220 veteran ATM secara berperingkat dan inisiatif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026 itu akan dilaksanakan melalui kaedah lantikan berasaskan kontrak selepas peruntukan diterima.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 sebelum ini memaklumkan keutamaan akan diberikan kepada veteran ATM bagi mengisi keperluan tenaga kerja AKPS bagi kesiapsiagaan penuh agensi itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS