Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahun 1 umur 6 tahun: Kementerian buat persiapan maksimum - Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini berkata kementerian telah membuat "persediaan maksimum" untuk menerima maklum balas "luar biasa" daripada ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak mereka yang berumur enam tahun ke Tahun 1 bermula tahun depan.

Isu kesesakan sekolah berulang kali dibangkitkan semasa perbahasan titah diraja dan sekali lagi hari ini dengan selingan daripada kedua-dua belah pihak.

Fadhlina, dalam ucapan penggulungan kementeriannya hari ini, memberi jaminan bahawa tidak akan ada penolakan terhadap mana-mana pelajar berumur enam tahun yang mendaftar untuk memulakan Tahun 1 tahun depan.

"Kita bersedia untuk maksimum, maknanya persiapan kita ketika ini, walaupun ada pilihan, persiapan kita maksimum.

"Mengambil kira permintaan yang telahpun kita buat dan juga dari segi sambutan yang telahpun kita dapat kenal pasti kawasan-kawasan itu, jadi tidak akan ada penolakan siapa yang diterima siapa yang mohon itu, kita akan masukkan," katanya.

Fadhlina menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya), Dr Halimah Ali (PN-Kapar), dan Dr Yunus Hairi (PN-Kuala Langat), yang menekankan kekangan kapasiti yang dijangkakan untuk sekolah-sekolah di kawasan berkepadatan tinggi.

"Kita memang jangka sambutan ini luar biasa sebab itu persiapan kita maksimum. Saya ambil maklum tentang keprihatinan Kapar dan juga Kuala Langat kerana memang kedua-dua ini antara kawasan yang sangat padat.

"Sebab itu dalam jawapan saya tadi saya tegaskan bahawa bila kita nak memilih sekolah yang akan kita buka kelas-kelas tambahan untuk anak-anak enam tahun ini, perkara pertama yang kita ambil kira adalah kapasiti dan mengoptimumkan prasarana," katanya.

"Kalau sekolah itu memang dah tak boleh nak buat IBS (Industrialised Building System) pun dah tak boleh, jadi maknanya kita ada pilihan-pilihan sekolah lain sebab itu juga dalam konteks ini kita akan melihat berdasarkan permintaan itu dan pendaftaran itu nanti dan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa," tambahnya.

Mengenai pengambilan 20,000 guru baru melalui kontrak perkhidmatan, Fadhlina berkata inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada “persediaan maksimum” kementeriannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS