Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendakwah bebas ditahan reman sekali lagi
Diterbitkan:  Feb 6, 2026 2:45 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman semula seorang pendakwah bebas serta ketua jabatan kewangan dan perakaunan sebuah pusat pendidikan dan dakwah di negeri itu kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta.

Perintah reman sehingga 8 Feb terhadap dua suspek itu dikeluarkan majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas membenarkan permohonan SPRM.

Permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek merupakan seorang lelaki dan seorang wanita berusia 30-an.

Mereka ditahan sekali lagi oleh SPRM kira-kira jam 6 petang semalam di pejabat agensi antirasuah itu di Sungai Petani bagi membantu siasatan siasatan kes lain.

“Pendakwah bebas yang juga pengarah urusan institusi itu direman buat kali kedua kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta yang dimasukkan ke akaun persendiriannya.

“Pada masa sama, siasatan mendapati dua suspek terbabit meluluskan pembayaran untuk pembelian rumah bernilai kira-kira RM500,000,” katanya.

Semalam, dua suspek berkenaan ditahan reman sehari kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 sebagai bayaran mengumpul dana pusat pendidikan dan dakwah terbabit tanpa mendapat kelulusan rakan kongsi lain.

Mereka ditahan reman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani sebelum dibebaskan kira-kira jam 5 petang.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata siasatan dijalankan SPRM Kedah bersama Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM sejak Okt tahun lalu.

Katanya siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS