Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demo: Razlan tempelak Hanipa kaitkan tangkapan polis dengan era BN
Diterbitkan:  Feb 8, 2026 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Seorang pemimpin Umno tampil menempelak bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin, yang mengaitkan era pentadbiran BN dengan penahanan peserta perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah), malam tadi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii berkata sampai sekarang tiada seorang pun daripada mereka yang terlibat dengan demonstrasi pada era BN meringkuk di penjara.

“Jangan kaitkan Zaman BN, zaman BN kamu boleh bergolek di jalanan dan tutup Dataran Merdeka, sampai sekarang tak ada yang meringkuk dalam Penjara.

“Zaman BN, ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dihapuskan dan Akta Himpunan Aman diwujudkan,” katanya.

Terdahulu penyelaras Garah, Zamri Vinoth dan penganjur bersama perhimpunan itu, Tamim Dahri Abdul Razak ditahan bersama 17 individu lain sebelum perhimpunan itu berlangsung.

Penahanan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan maksimum akan diambil kepada mana-mana pihak yang mengganggu gugat keselamatan, ketika negara dihadiri Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Anwar berkata dia memberi arahan tegas kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil tindakan itu pada mesyuarat Kabinet, selain menghantar mesej kepada Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.

Dalam satu kenyataan, Hanipa mengingatkan pihak polis supaya tidak mengulangi era pentadbiran BN apabila menahan individu yang berhimpun secara aman.

Dia juga menyatakan rasa kesal kerana insiden itu berlaku di ketika pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan mempersoalkan komitmen Anwar terhadap agenda reformasi.

Razlan yang juga ketua Umno Bahagian Seputeh turut menasihati Hanipa supaya tidak bertindak sebagai ‘batu api’.

“Dalam Amanah pun kamu ditolak sebab kurang bijak sewaktu jadi menteri. Jangan nak jadi batu api,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS