Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin terus berdepan tekanan dengan kini dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu mendesaknya agar secara terbuka menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin selaku presiden.
Mohd Yazid Mohd Yunus dan Jasri Jamaludin turut mendesak Hamzah agar tampil menafikan penglibatannya dalam apa yang disifatkan sebagai gerakan “melemahkan presiden parti”, di saat tumpuan sepatutnya kepada usaha menguatkan parti bagi berdepan parti-parti dalam kerajaan.
“Persoalan ini semakin serius apabila nama Hamzah sering dikaitkan dengan gerakan tersebut.
“Jika benar dia tidak terlibat, maka dia wajib tampil menafikan secara tegas dan menghentikan sebarang usaha yang mencalar kestabilan parti,” kata Mohd Yazid dan Jasri dalam kenyataan bersama, hari ini.

“Cabaran ini jelas iaitu pendirian secara terbuka. Sokong presiden (Muhyiddin) tanpa syarat dan hentikan kekaburan atau berani berdepan tindakan jika terbukti melanggar perlembagaan parti,” kata mereka lagi.
Semalam, dua ahli MPT Bersatu, Harrison Hassan dan Rosnizan Ahmad turut menggesa lembaga disiplin parti menyiasat dakwaan Hamzah menyokong tindakan mengkritik Muhyiddin.
Kenyataan yang menyasarkan Hamzah itu muncul di tengah-tengah spekulasi usaha dalaman baru untuk mendesak pemecatan Hamzah melalui satu “petisyen” yang didakwa diedarkan dalam kalangan wakil rakyat dan ketua bahagian parti.
Hari ini, Hamzah dilaporkan sekali lagi dipanggil lembaga disiplin Bersatu buat kali kedua, namun pada tarikh yang belum dipastikan memandangkan dia kini berada di luar negara.

Mohd Yazid dan Jasri turut menyokong siasatan terhadap Hamzah dan berkata anggota Parlimen Larut itu perlu menunjukkan “keberanian moral” untuk berdepan tindakan disiplin jika siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap perlembagaan parti.
Jika memang ada perancangan untuk melemahkan presiden, kata mereka lagi, ia bukan lagi perbezaan pandangan tetapi sabotaj dalaman.
“Malah, jika benar prinsip parti telah dicabuli, dia sendiri wajar menyerahkan mandat dan bersedia dipecat demi memelihara integriti Bersatu.
“Bersatu tidak boleh bertolak ansur dengan politik bayang-bayang, percaturan tersembunyi dan gerakan yang melemahkan parti dari dalam.
“Tiada siapa lebih besar daripada parti. Tiada jawatan kebal daripada tindakan,” kata mereka lagi.
Hamzah sebelum ini didakwa menyokong usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin meskipun dia secara terbuka menunjukkan kesetiaannya kepada Presiden parti dan menyatakan bahawa dia akan menunggu Muhyiddin melakukan peralihan kuasa.
Dia juga setakat ini belum menjawab secara terbuka dakwaan menyokong pimpinan serta gerakan dalaman yang membawa kepada pemecatan dan penggantungan ahli Parlimen serta ketua bahagian parti itu.
Selain Hamzah, lembaga disiplin Bersatu juga merancang untuk memanggil sekurang-kurangnya lima ketua bahagian pada 12 Feb, berhubung dakwaan kaitan mereka dengan kenyataan yang mencemarkan reputasi parti dan mengkritik Muhyiddin.
Mereka termasuk Ketua Bersatu Dungun, Abdul Aziz Ismail, Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim, Ahmad Nasir Mid (Selayang), Zulkifli Bujang (Johor Bahru) dan Ramlan Meon (Tangga Batu).
