Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sara Untuk Semua dikredit hari ini, kategori sejuk beku ditambah
Diterbitkan:  Feb 9, 2026 10:16 AM
Dikemaskini: 2:16 AM

Sumbangan Asas Rahmah (Sara) mula disalurkan hari ini membabitkan peruntukan RM2.2 bilion dan memberikan manfaat kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataan dikeluarkan, MOF memaklumkan penerima akan mendapat RM100 secara sekali beri (one-off) yang boleh digunakan hingga 31 Dis tahu ini.

“Sara untuk semua membolehkan isi rumah menerima bantuan berganda bergantung pada jumlah ahli dewasa yang layak.

“Sebagai contoh, keluarga dengan suami, isteri dan dua anak berumur 18 tahun ke atas akan menerima keseluruhan RM400, tidak termasuk bantuan Sara bulanan sekiranya berkelayakan,” kata kementerian itu.

MOF memaklumkan berdasarkan maklum balas rakyat, kerajaan turut menambah baik kemudahan pembelian dengan meluaskan kategori barangan kepada makanan sejuk beku, menjadikan 15 kategori keseluruhannya.

Langkah itu juga meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli kepada 140,000 jenis barangan.

Selaras dengan perutusan tahun baru oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerajaan menyasarkan 10,000 kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga Sara menjelang hujung tahun.

Jarak kedai runcit terdekat pula dikurangkan daripada 10 kilometer kepada 7 kilometer.

Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan serta soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi https://sara.gov.my.

MOF turut mengingatkan penerima supaya berwaspada dengan pautan palsu dan cubaan penipuan.

Katanya, MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp. Sebarang maklumat terkini hanya boleh dirujuk menerusi portal rasmi STR.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS