Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Prestasi PBT kini dinilai ikut 'lampu hijau' atau 'lampu merah'

Proses penilaian prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) ditambah baik dengan menggunakan sistem 'lampu isyarat' berbanding pemberian bintang seperti sebelum ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Katanya, melalui sistem penilaian baru itu, sesebuah PBT yang mendapat penarafan berdasarkan warna hijau atau merah.

Bagi PBT yang mendapat lampu hijau, kata Nga, mereka akan mendapat peruntukan berganda, manakala yang menerima lampu merah akan disekat atau tidak diberikan peruntukan.

"Tujuan utama kerajaan memperkenalkan sistem ini adalah untuk memastikan semua PBT menjalankan tugas diamanahkan dengan baik," katanya ketika sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Nga sebelum itu melawat rumah pangsa Alor Akar yang menjadi antara lokasi dilawatinya dalam program Sentuhan Kasih 4.0 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) peringkat Pahang.

Dalam majlis sama, dia turut menyerahkan replika cek berjumlah RM183 juta kepada kerajaan Pahang bagi kerja perancangan dan pembangunan infrastruktur kesejahteraan rakyat.

Antara projek diluluskan adalah pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RM46.7 juta), pembinaan stesen bas Temerloh Sentral dan Pekan Sentral (RM37 juta), serta kerja naik taraf balai bomba dan penyelamat di Kuantan, Bera, Lipis, Rompin dan Bentong (RM21.1 juta).

Ketika ditanya mengenai jumlah PBT menerima lampu merah sejak sistem itu dilaksanakan, Nga enggan menamakan atau memberitahu jumlah tepat.

Hal itu kerana, kata Nga, perkara itu akan diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu.

"KPKT tidak mahu memalukan sesiapa atau mana-mana pihak. Tapi memang ada yang dapat lampu merah, cuma kita cari jalan penyelesaian, cuba selesaikan secara dalaman," katanya.

Tahun lalu, KPKT turut memperkenalkan Sijil Ketua Audit Negara dan Penarafan Rasuah Perkhidmatan Awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai indikator baharu dalam sistem penarafan bintang PBT.

Indikator itu mula digunakan bagi menilai prestasi PBT di seluruh negara mulai tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS