Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Urusan pentadbiran di bawah kepimpinan pusat, bukan Majlis Syura
Diterbitkan:  Feb 11, 2026 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kepimpinan pusat parti bertanggungjawab terhadap urusan pentadbiran dan pelantikan di semua peringkat, termasuk penyeliaan kerajaan negeri yang ditadbir parti itu.

Katanya, Majlis Syura Ulama tidak terlibat dalam urusan pentadbiran selagi sesuatu pentadbiran itu tidak bercanggah dengan dasar parti.

“PAS Pusat yang dipilih dan dilantik oleh muktamar tahunan PAS Pusat berkuasa bagi melaksanakan pentadbiran yang tertinggi dalam PAS yang tidak berlawanan dengan dasar dan hukum tertinggi, mengikut Fasal 39(1) dan Fasal 39(9) Perlembagaan PAS.

“Adapun pelaksanaan dasar hukum tertinggi PAS iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta Ijmak Ulamak dan Qias, dipertanggungjawabkan kepada Majlis Syura mengikut Fasal 8(1) Perlembagaan PAS yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan Ulama PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat, Dewan Muslimat PAS Pusat dan dilantik anggota tambahan oleh Majlis Syura itu sendiri.

“Maka, Majlis Syura Ulamak tiada kaitan dengan pentadbiran selagi tidak bercanggah dengan dasar tertinggi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Hadi, yang juga anggota Majlis Syura, menyatakan perkara itu dalam surat terbuka kepada ahli PAS Perlis hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan mengenai ketegangan antara dirinya dan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berhubung pemecatan tiga Adun yang dikaitkan dengan krisis politik Perlis, yang akhirnya menyaksikan Bersatu mengambil alih pentadbiran negeri daripada PAS.

Hashim sebelum ini mengkritik penamatan keahlian bekas Adun terbabit sebagai tindakan tergesa-gesa dan dibuat tanpa merujuk kepada Majlis Syura.

Hashim Jasin

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata tanggungjawab kepimpinan pusat termasuk melantik pesuruhjaya negeri dan menteri besar.

“PAS Pusat telah memilih Pesuruhjaya PAS negeri Perlis daripada kalangan ahli Majlis Syura, jawatan yang paling bersih dalam PAS.

“Kita telah melakukan tabayyun terhadap aduan daripada Perlis sejak awal menerima pengaduan selepas baharu sahaja mendapat kemenangan.

“Aduan salah laku akhlak dan pentadbiran. Tabayyun wajib dilaksanakan kerana perintah Allah,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, kepimpinan kawasan PAS turut dipanggil menghadiri sesi pendengaran berhubung aduan tersebut.

Tanpa menamakan mana-mana individu, presiden PAS itu berkata mesyuarat berkenaan mendedahkan terdapat pemimpin yang bertindak tidak selari dengan nilai parti serta secara terbuka menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti dan negeri.

“Sebilangan mereka menonjolkan diri masing-masing paling layak memegang jawatan tetapi tidak dilantik.

“Ada yang menggambarkan diri mereka sebagai paling layak untuk jawatan yang tidak dilantik kepada mereka.

“Terdapat juga laporan mengenai lobi tidak beretika yang merosakkan PAS dan kerajaan negeri.

“Ada juga tidak memahami kelemahan peringkat kerajaan baharu yang dapat diselesaikan mengikut proses pentadbiran yang dapat dibetulkan serta ada masalah bidang kuasa kerajaan negeri yang terbatas,” katanya.

Abdul Hadi menambah kesimpulannya bahawa PAS Pusat menaruh kepercayaan tinggi kepada pesuruhjaya negeri yang dilantik.

“Apa yang berlaku ialah tidak walak kepada parti dan tidak taat kepada pemimpin yang dilantik oleh pimpinan PAS Pusat tanpa alasan yang sebenar.

“Sila lakukan muhasabah diri sendiri dengan adil, betapa pentingnya untuk menjaga perpaduan dalam jemaah, memastikan pergerakan jemaah tidak terhenti dan musuh gagal mengambil kesempatan.

“Perjuangan harus tetap bergerak, kerana dalam jemaah adanya ramai ahli yang terus melaksanakan kewajipan tanpa memikirkan jawatan dan habuan, hanya ikhlas kerana Allah,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS