Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Buruh didenda RM1,500 kerana buang puntung rokok di tempat awam

Seorang buruh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam, bulan lepas.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Ajmal Haziq Zulkarnain, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh sebulan.

Lelaki itu didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa pepejal tersebut, di hadapan sebuah restoran di Bukit Bintang di Kuala Lumpur, pada 10.39 malam, 1 Jan 2026.

Pertuduhan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh maksimum enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), A'ala Shah Md Yusop memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan orang awam tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam.

Bagaimanapun, Ajmal Haziq yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan selain mengakui kesalahan dilakukannya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS