Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam menafikan tuduhan kononnya beliau yang mewujudkan Hindraf (Hindu Rights Action Force).

Beliau membuat penafian itu sebagai menjawab kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dalam sebuah majalah di India baru-baru ini.

Dalam temubualnya dengan majalah Kumudam Reporter , Samy Vellu berkata, Subramaniam memulakan pergerakan Hindraf untuk berkempen menentangnya selepas gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan MIC pada 2006.

Selama ini, Samy Vellu dan Subramaniam memang tidak sebulu dan kemuncaknya ialah apabila Subramaniam kalah jawatan timbalan presiden MIC kepada Datuk G Palavinel yang merupakan calon pilihann presiden MIC itu.

Sebelum ini, presiden MIC itu pernah menuduh Subramaniam 'menikamnya dari belakang'.

Mengulas tuduhan terbaru itu, Subramaniam berkata, presiden MIC itu kini membuat tuduhan terhadapnya di luar negara.

"Selepas apa yang diperkatakan mengenai Hindraf, Samy Vellu tiba-tiba membuat penemuan baru - bahawa saya yang memulakan Hindraf," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Siapa yang memulakan Hindraf? Sudah berapa lama ianya aktif? Apakah di sebalik perjuangannya? Inilah soalan-soalan yang tidak perlu saya jawab, kerana orang sudah tahu jawapannya," katanya.

Subramaniam menegaskan bahawa beliau sentiasa sendirian dalam perjuangan politiknya.

"Saya tidak perlu mewujudkan sebarang platform untuk ini," tambahnya.

'Lagu lama'

Sehubungan itu, ahli politik veteran ini berkata beliau akan berjuang dengan mana-mana pergerakan yang tulen perjuangannya.

"Apa juga pertubuhan atau pergerakannya, jika perjuangan mereka tulen, jika mereka berjuang untuk memperbaiki kehidupan masyarakat India, untuk mendapat hak kita, saya sentiasa bersedia untuk berjuang bersama-sama atau bersuara bagi pihak mereka.

"Bagaimanapun, tuntutan yang dibuat mestilah munasabah, bukan diputarbelit dan perjuangannya tidak harus mengakibatkan berlaku perpecahan kaum di negara ini. Hanya perjuangan seumpama ini akan memberi kebaikan kepada masyarakat dalam jangka masa panjang," tambahnya.

Subramaniam juga menegaskan bahawa beliau adalah orang yang pertama menggesa kerajaan supaya mengkaji semula tuduhan cubaan membunuh terhadap 31 individu yang menyertai perhimpunan anjuran Hindraf pada 25 November lalu.

"Ada laporan-laporan media untuk membuktikannya," kata beliau.

Bekas timbalan presiden MIC itu menggesa bekas bosnya itu supaya menghentikan amalan 'menutup' kelemahan sendiri dan menyalahkan orang lain.

"Beliau perlu berhenti menyanyikan lagu yang sama selama 29 tahun, orang sudah jemu mendengarnyanya" kata Subramaniam.

Sebaliknya, tegas beliau, tumpuannya perlu diberikan kepada isu-isu di sebalik perjuangan masyarakat tersebut.

Perhimpunan anjuran Hindraf itu telah disertai oleh 30,000 orang di ibunegara. Berikutan itu, MIC dan kepimpinannya berdepan dengan tekanan hebat kerana parti itu telah dituduh gagal mewakili masyarakat tersebut.

Kerajaan telah mendakwa Hindraf sebuah pergerakan yang ekstrem dan lima pemimpinnya telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas dituduh mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.