Seorang pengarah syarikat sistem keselamatan serta bekas pengarah syarikat kontraktor elektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas pertuduhan memberi suapan RM1.352 juta dan RM1.05 juta bagi mendapatkan tender berkaitan pusat data, kira-kira dua tahun lepas.
Pengakuan Seow Kian Ang, 52, dan Yong Chun Jiat, 37, direkodkan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Seow didakwa atas empat pertuduhan memberi suapan wang tunai RM338,000 sebanyak empat kali kepada seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga pengurus kontrak sebuah syarikat melalui seorang lelaki 38 tahun di sekitar Bandar Sunway dan Ara Damansara antara 1 Ogos 2024 dan 10 Julai 2025.
Suapan itu didakwa sebagai upah membantu syarikatnya mendapat tender “Sub-Contractor for Design, Planning, Supply, Delivery, Installation, Testing, Commissioning, Warranty and Comprehensive Maintenance of Security System”.
Yong pula didakwa atas enam pertuduhan memberi suapan wang tunai, iaitu RM100,000, RM96,000, RM154,000, RM150,000, RM150,000 dan RM400,000 kepada lelaki 34 tahun itu di Bandar Sunway, Ara Damansara, Temasya Square Glenmarie antara 5 Ogos 2024 dan 18 Mei 2025.
Suapan itu didakwa upah membantu syarikatnya mendapat tender “Sub-Contractor for Design, Planning, Supply, Delivery, Installation, Testing, Commissioning, Warranty and Comprehensive Maintenance of Electrical Low Voltage Works (External LV Package)(Sub-Contract)”.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Ezlin Yusop Khan tidak menawarkan jaminan namun jika mahkamah berhasrat menggunakan budi bicara dalam hal itu, beliau mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.
“Pendakwaan juga memohon syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Jumlah ini munasabah mengambil kira kesalahan berkenaan sangat serius,” katanya.
Turut mewakili barisan pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin, Nidzuwan Abd Latip dan 'Atirah Mohd Azuarizanuddin.
Peguam Datuk Geethan Ram yang mewakili Seow merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya sentiasa memberi kerjasama dan tidak pernah gagal untuk hadir ke pejabat SPRM setiap kali dipanggil memberi keterangan sekali gus menunjukkan tiada risiko untuk melarikan diri.
Sementara itu, peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili Yong merayu mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana anak guam menyara keluarga dan telah meletakkan jawatan semalam, memberikan kerjasama sepanjang siasatan selain tidak akan mengganggu saksi pendakwaan.
Hakim membenarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mac.
- Bernama
