Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu adakan mesyuarat MPT di kediaman Muhyiddin

Bersatu hari ini mengadakan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di kediaman presidennya, Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di Kuala Lumpur, susulan pergolakan dalaman parti itu.

Mesyuarat yang bermula 10 pagi itu masih berlangsung ketika ini.

Antara pemimpin yang hadir ialah Naib Presiden Mohd Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Mohamed Azmin Ali, Bendahari Agung Rina Harun, dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz.

Sementara itu, bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin dijadual mengadakan satu taklimat berhubung hala tuju dan “reset” politik pada dua petang, di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Setakat semalam, Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat 17 ahlinya termasuk Hamzah yang juga anggota Parlimen Larut.

Turut dipecat ialah ahli MPT yang juga Anggota Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Anggota Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob, dan Anggota Parlimen Padang Rengas Kapten Azahari Hasan.

Dua Adun yang dipecat ialah Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik, Perak) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban, Melaka), yang juga ketua pembangkang negeri itu.

Selain itu, sembilan ketua bahagian Bersatu yang dipecat ialah Mohd Hassuandi Hamzah (Larut); Yunus Nurdin (Libaran); Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) serta Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah).

Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah Nabila Norsahar, dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Mohamad Shafiq Abdul Halim.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS