Kini menjadi ahli politik bebas selepas dipecat daripada Bersatu, Anggota Parlimen Larut Hamzah Zainudin berpaling ke arah “rakan” lama dan baru untuk memulakan gerakan bagi apa yang disifatkan sebagai “reset” landskap politik.
“Sertai saya dalam perjuangan ikhlas untuk masa depan negara,” katanya ketika sidang media di Universiti Malaya Alumni Clubhouse (Paum) di Kuala Lumpur, hari ini.
Di kiri dan kanannya adalah barisan bekas pemimpin dan anggota Parlimen Bersatu.
Hamzah bagaimanapun enggan menyatakan rancangannya secara khusus, sama ada menyertai parti lain atau menubuhkan parti baru bersama para penyokongnnya, yang didakwa sebagai “majoriti” yang menentang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Begitu juga dengan kemungkinan dia akan menyertai PAS, seperti khabar angin yang bertiup sebelum ini.
“Mengapa anda tanya soalan sebegini apabila saya sekarang seorang yang bebas?

“Saya sudah ajak semua bersama saya. Sekiranya saya ada semua sokongan, saya harus juga ada pilihan lain untuk dilihat,” katanya.
“(Apabila berkata) sertai saya, tak bermakna saya perlu jadi presiden parti baru. Tetapi sertai saya dalam perjuangan,” katanya lagi.
Hamzah juga berkata dia akan memiliki “rumah baru” yang menurutnya mungkin parti sedia ada atau parti yang baru.
Disokong 19 MP
Berkenaan pertemuannya dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam, Hamzah mendedahkan Abdul Hadi bertanya berapa anggota Parlimen yang bersamanya.
“Setakat ini, termasuk saya, ada 19 anggota Parlimen bersama saya. Kalau ada 19 daripada 25 anggota Parlimen (daripada Bersatu), bermakna saya ada majoriti di (peringkat) pusat dan ia diterima dalam PN.
Baca: Hamzah: Hari ini saya penentang nombor satu Muhyiddin
“Untuk proses seterusnya, kita tak tahu sama ada (kekal) PN atau ada jajaran baru.
“Ini perkara yang akan difikirkan kemudian. Saya bukan orang yang buat keputusan secara bersendirian,” katanya lagi.

Ditanya lebih lanjut bila keputusan itu akan dibuat, Hamzah berseloroh yang sambutan Tahun Baru Cina akan bermula tak lama lagi.
Dia yang kelihatan sedikit beremosi kemudian turun dari pentas utama, disambut sorakan daripada beberapa ratus penyokong dan pelukan daripada bekas pemimpin Bersatu.
Himpunan hari ini dianjurkan oleh Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, yang setakat ini belum dikenakan tindakan disiplin.
