Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani supaya tidak memandang rendah sentimen rakyat, terutama anak muda.
Dia berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan “Tangkap Azam Baki” di Kuala Lumpur semalam, yang menyaksikan ratusan orang turun ke jalan raya berikutan dakwaan terbaru terhadap ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Menyifatkan kehadiran yang baik pada perhimpunan itu walaupun notis diberi dalam tempoh singkat, Rafizi berkata ia mengingatkannya kepada siri demonstrasi “KitaLawan” yang bermula pada Februari 2015 sebagai reaksi terhadap skandal 1MDB.
"Kalau saya jadi Nurul Izzah atau Datuk Seri Saifuddin Nasution yang boleh bisikkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya akan sampaikan cerita siri demonstrasi #KitaLawan ini.
"Sebab dia dalam penjara masa itu, mungkin dia tak tahu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Menurut Rafizi, teladan daripada demonstrasi “Kita Lawan” ialah jangan sekali-kali memandang rendah semangat sekumpulan kecil rakyat, terutamanya anak muda, sekiranya mereka merasa apa yang diperjuangkan mereka adalah benar dan tanpa ada kepentingan peribadi.
"Lama-lama suara mereka itu akan turut disambut oleh rakyat yang lain," katanya.
Mengimbas demonstrasi pada 2015 itu, Rafizi berkata PAS sudah berjauh hati dengan gabungan pembangkang ketika itu, dan Pakatan Rakyat sedang retak menunggu belah.
Tanpa PAS, katanya, kepimpinan Bersih 2.0 sendiri tidak yakin sebarang demonstrasi yang diadakan akan berjaya menarik kehadiran.
"Dalam PKR pula, kepimpinan sudah dikuasai oleh kumpulan Datuk Seri Azmin Ali yang tidak berminat pun untuk berdemonstrasi atau membawa isu 1MDB, rasuah kerajaan dan sebagainya," katanya.

Rafizi, yang ketika itu merupakan naib presiden dan setiausaha agung PKR, berkata dia bersama ketua Pemuda PKR ketika itu Nik Nazmi Nik Ahmad membuat keputusan kalau ada 10 orang pun, mereka perlu memulakan siri demonstrasi untuk terus mendedahkan mengenai 1MDB, kepincangan pentadbiran Najib dan membakar semangat melawan rakyat.
"Memang betul, demonstrasi #KitaLawan yang pertama hanya ada kurang dari 50 orang. Saya tak sempat hadir sebab 2 hari sebelum demonstrasi dah kena tangkap.
Kemudian Nik, Lih Kang (sekarang dah menteri), Kar Hing (Ahli Parlimen Gopeng), Chean Chung (Ahli Parlimen PJ), Wei Kiat (ADUN Rawang), Akmal (sekarang dah menteri) dan yang muda-muda teruskan anjurkan yang seterusnya.

"Merasa jugalah Nik, Lih Kang dan Kar Hing pakai baju lokap menjadi penganjur demonstrasi.
"Selepas beberapa siri, demonstrasi #KitaLawan dalam bulan Mac 2015 ada kehadiran yang baik dan menambah keyakinan kami bahawa rakyat akan tetap menyokong kalau isu yang dibawa itu tepat dengan jiwa mereka,” tambahnya.
