Sebanyak 26 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan sementara di Masjid Al-Ghufron, Manjoi selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein, malam tadi.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta berkata sembilan keluarga melibatkan 22 orang terjejas di Kampung Manjoi, manakala satu keluarga dengan empat mangsa terjejas di Kampung Tengku Hussein.
“Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini berikutan jumlah mangsa yang kecil dan keadaan banjir yang masih terkawal.
“Kesemua mangsa kini ditempatkan sementara di Masjid Al-Ghufron sebagai langkah berjaga-jaga sementara menunggu keadaan air surut sepenuhnya,” katanya.
APM Daerah Kinta memaklumkan pihaknya terus memantau keadaan semasa dan akan mengambil tindakan lanjut sekiranya paras air meningkat atau keadaan memerlukan pembukaan PPS.
Semalam, kejadian hujan lebat selama hampir dua jam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Ipoh dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan beberapa kawasan seperti pusat bandar, Tawas dan Kepayang, Manjoi dinaiki air
- Bernama
