Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IPCC bebas siasat kes tembak di Durian Tunggal - Saifuddin
Diterbitkan:  Feb 24, 2026 11:28 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) bebas menyiasat kejadian tembakan anggota keselamatan ke atas tiga lelaki didakwa penjenayah di Durian Tunggal, Melaka.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata IPCC merupakan sebuah badan bebas, justeru boleh memutuskan sendiri untuk melancarkan sebarang siasatan atau tidak tanpa mengambil kira sama ada terdapat aduan yang dibuat atau sebaliknya.

"Dalam perkara ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada IPCC sebagai badan bebas untuk mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan akta," katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.

Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab soalan William Leong (PH-Selayang) yang bertanya jika IPCC ditugaskan untuk menyiasat kes tembakan tersebut.

Leong juga meminta KDN menjelaskan bagaimana kerajaan merancang untuk memastikan tiada konflik kepentingan wujud apabila insiden yang melibatkan anggota polis dan disiasat juga oleh polis.

Polis Melaka pada mulanya mendakwa kejadian tembakan itu dilakukan anggota polis untuk mempertahankan diri daripada diserang suspek penjenayah.

Bagaimanapun, perkara itu dipertikaikan dengan rakaman audio yang didakwa terkait kejadian itu. Bukit Aman kemudian mengambil alih siasatan dan mengklasifikasikannya semula sebagai siasatan bunuh.

Pegawai yang terlibat pula telah digantung tugas.

Pada 10 Feb lalu Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata polis telah menyelesaikan siasatan dan sedang menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS