Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes fitnah: Bekas MP Padang Serai bayar hampir RM230,000 kepada suami isteri

Bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, telah menjelaskan bayaran berjumlah RM229,717.55 bagi menyelesaikan tuntutan saman fitnah yang difailkan oleh bekas Bendahari PKR Cabang Sungai Siput, R Indrani dan suaminya.

Penyelesaian penuh itu dibuat susulan arahan pembayaran yang dikeluarkan oleh pihak Indrani melalui Tetuan Revathi & Partners kepada peguam defendan, Shamsher Singh Thind, baru-baru ini.

Jumlah tersebut merangkumi ganti rugi penghakiman, kos mahkamah, serta faedah terakru yang dikira setakat 22 Feb 2026.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, jumlah pokok sebanyak RM150,000 adalah berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 23 Feb 2023.

Selain itu, Gobalakrishnan turut membayar faedah pada kadar lima peratus setahun berjumlah RM15,202.50 yang dikira selama 740 hari bermula dari tarikh penghakiman sehingga Mac 2025.

Baki jumlah tersebut turut melibatkan kos guaman sebanyak RM40,000 yang diperintahkan oleh mahkamah.

Ketika dihubungi, peguam Indrani, Revathi mengesahkan bahawa Gobalakrishnan telah membuat bayaran.

"Pembayaran itu dibuat secara terus kepada akaun suaminya, Selva Kumar, sebagai penyelesaian muktamad bagi mengakhiri pertikaian undang-undang selama tujuh tahun itu," katanya kepada Malaysiakini.

Kes ini bermula apabila Indrani dan Selva Kumar, seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial, memfailkan saman fitnah terhadap Gobalakrishnan pada 7 Nov 2019.

Saman tersebut difailkan selepas Gobalakrishnan didakwa menerbitkan dua mesej gambar dan satu mesej suara melalui aplikasi WhatsApp yang menuduh pasangan itu menipu ramai ahli perniagaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, dalam keputusannya mendapati ketiga-tiga penerbitan defendan adalah berunsur fitnah dan dibuat tanpa sebarang asas yang sah.

Mahkamah sebelum ini menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Indrani dan RM50,000 kepada Selva Kumar.

Dalam prosiding tersebut, Gobalakrishnan juga cuba memfailkan tuntutan balas dengan mendakwa Indrani memfitnahnya dalam satu mesej suara berasingan.

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan balas berkenaan kerana mendapati defendan gagal mengemukakan bukti yang mencukupi bagi menyokong dakwaannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS