Polis soalsiasat penderma Hindraf
Jika anda telah membuat sumbangan kepada Hindraf, polis mungkin memanggil anda untuk disoalsiasat.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) telah menghantar surat kepada beberapa individu mengarahkan mereka memberi kenyataan di ibupejabat polis di Bukit Aman.
Surat tersebut menyatakan polis menjalankan siasatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 130N Kanun Keseksaan - membiayai aktiviti pengganas.
Jika anda telah membuat sumbangan kepada Hindraf, polis mungkin memanggil anda untuk disoalsiasat.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) telah menghantar surat kepada beberapa individu mengarahkan mereka memberi kenyataan di ibupejabat polis di Bukit Aman.
Surat tersebut menyatakan polis menjalankan siasatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 130N Kanun Keseksaan - membiayai aktiviti pengganas.
Jika didapati bersalah, seseorang itu boleh dihukum mati (jika tindakan pengganas mengakibatkan kematian), dipenjara tidak kurang daripada tujuh tahun, tetapi tidak melebihi 30 tahun serta didenda.
“Polis percaya yang anda dapat memberi keterangan mengenai sumbangan kewangan kepada Hindraf Enterprise," demikian menurut surat yang ditandatangani oleh pegawai penyiasat ASP Rozeni Ismail.
Seorang penyumbang yang menerima surat tersebut dan telah disoalsiasat oleh polis baru-baru ini berkata, rujukan dibuat kepada satu akaun bank RHB di bawah nama ‘Hindraf Enterprise’.
Penyumbang tersebut, yang tidak mahu namanya disebut, berkata polis telah merakam kenyataan berkaitan dengan beberapa lagi kesalahan - yang tiada kaitan dengan keganasan - yang dilakukan oleh syarikat tersebut.
“Adalah pelik perkara itu dikendalikan oleh jabatan jenayah perdagangan kerana semasa soalsiasat, mereka tidak merujuk kepada kesalahan berkaitan keganasan. Mereka berkata syarikat tersebut boleh didakwa kerana mengutip sumbangan dan dana secara tidak sah.
“Ia juga membimbangkan kerana pihak bank boleh memberi maklumat mengenai pelanggan dan urusniaga mereka kepada pihak polis tanpa memerlukan perintah mahkamah," katanya.
Di bawah Seksyen 16A Akta Bank Negara Malaysia 1958, pihak bank dibenarkan memberi sebarang maklumat berhubung sebarang kesalahan kepada pihak polis atau institusi kewangan yang terbabit.
Ramai mungkin dipanggil
Bagaimanapun, menurutnya, proses merakam kenyataannya itu hanya mengambil masa 30 minit dan polis melayannya dengan baik sepanjang tempoh tersebut.
“Saya tidak fikir hanya saya sahaja yang akan dipanggil. Bila saya tanya, pegawai itu berkata ramai lagi yang akan dipanggil," tambahnya.
Hindraf telah menganjurkan perhimpunan yang disertai kira-kira 30,000 orang di ibunegara pada 25 November tahun lalu.
Selepas itu, pemimpin dan penyokongnya telah didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut, melakukan khianat dan menghadiri perhimpunan haram.
Pada 8 Disember 2007, Suruhanjaya Syarikat Malaysia membatalkan pendaftaran Hindraf Enterprise kerana menggunakan syarikat itu untuk tujuan yang tidak sah dan tujuan yang memudaratkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Syarikat berkenaan ketika itu telah membuka satu akaun bank untuk orang ramai menghulurkan sumbangan kewangan untuk tujuannya dan bagi membantu mereka yang memerlukan wang untuk membayar ikatjamin.
Lima pemimpin Hindraf - P Uthayakumar bersama R Kenghadharan, M Manoharan, V Ganabathirau dan T Vasanthakumar - telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 13 Disember tahun lalu untuk tempoh dua tahun tanpa dibicarakan.
Pengarah CCID, ACP Mohd Kamarudin Md Din tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai siasatan tersebut. Berita asal

