Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Tinggi ketepi denda, penjara pembuli jalan raya 4 bulan
Diterbitkan:  Feb 25, 2026 3:45 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas seorang peniaga kerana mencederakan dan mengancam untuk membunuh seorang warga emas dalam satu kejadian buli jalan raya, awal bulan ini.

Keputusan yang dibuat oleh Hakim Aslam Zainuddin itu sekali gus mengketepikan hukuman denda RM5,500 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Kajang terhadap Saiful Adli Yusof, 52, pada 10 Feb lalu.

Aslam dalam penghakimannya menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk memanggil semula kes tersebut bagi menyemak semula hukuman yang lebih wajar berbentuk pemenjaraan.

Dalam prosiding tersebut, mangsa yang merupakan seorang warga emas, Liew Khoon Foo, 70, membacakan pernyataan impaknyadalam bahasa Mandarin yang menggambarkan penderitaan fizikal dan mental yang dialaminya.

Liew memaklumkan bahawa dia kini mengalami trauma yang mendalam, takut untuk keluar rumah, serta tidak lagi berani memandu kenderaan.

"Saya mengalami kecederaan teruk termasuk enam jahitan pada lidah yang menyukarkan saya untuk makan.

“Saya amat takut lelaki itu akan simpan dendam dan mencari saya semula," katanya sambil merayu agar hukuman setimpal dijatuhkan kerana menyifatkan tertuduh bertindak sangat ganas.

Alasan 'hilang pertimbangan'

Terdahulu, Saiful Adli mendakwa beliau hilang pertimbangan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya dilanggar oleh mangsa.

Dakwanya, impak pelanggaran itu menyebabkan anaknya yang baru berusia tiga hari terlepas daripada dukungan isterinya lalu terjatuh.

Beliau mendakwa telah membunyikan hon namun mangsa melarikan diri termasuk melanggar lampu isyarat, menyebabkan beliau mengejar mangsa sejauh 500 meter.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim menegaskan bahawa tindakan Saiful Adli adalah sangat kejam berdasarkan rakaman video tular yang menunjukkan mangsa ditumbuk dan ditendang.

"Tindakan responden boleh disifatkan sebagai pembuli jalan raya yang bertindak semberono dan mengikut amarah. Negara ini mempunyai undang-undang," tegas Shahrul semasa memohon mahkamah menilai semula hukuman bagi memberi keinsafan kepada tertuduh.

Latar belakang kes

Sebelum ini, pada 10 Feb, Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman denda RM5,500 ke atas Saiful Adli selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk dan menendang Liew di Jalan Cheras-Hulu Langat, Batu 9 Cheras pada jam 4.05 petang, 8 Feb lalu.

Bagi pertuduhan mencederakan, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda, manakala bagi pertuduhan ugutan jenayah, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS