Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aduan kanopi punca tindakan DBKL, bukan isu dakwah - Menteri
Diterbitkan:  Feb 26, 2026 12:19 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menegaskan sekali lagi komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap aktiviti dakwah, namun menekankan bahawa usaha sedemikian mestilah mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, tindakan mengalihkan kanopi atau khemah Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang awal bulan ini tidak seharusnya digambarkan sebagai perbuatan anti-Islam, mahupun digunakan untuk menyebarkan fitnah terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru, Fadlun Mak Ujud.

Hannah Yeoh (PH-Segambut)

Bercakap semasa Waktu Pertanyaan Menteri hari ini, Yeoh menjelaskan bahawa tindakan DBKL itu dibuat semata-mata berdasarkan aduan yang diterima oleh pegawai penguat kuasa mengenai kedudukan khemah tersebut.

“Dakwaan bahawa (dakwah jalanan) ini telah berjalan selama 14 tahun dan hanya menjadi isu selepas datuk bandar baru memegang jawatan adalah fitnah.

"Bahan-bahan (yang dirampas) ini seperti kerusi, meja lipat, khemah, troli beroda juga telah diambil balik oleh Multiracial Reverted Muslims (MRM).

“Tidak ada bahan agama yang dirampas oleh DBKL," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini semasa menjawab soalan tambahan Isam Isa (BN-Tampin).

Isam Isa (BN-Tampin)

Menurut Yeoh, pegawai penguat kuasa DBKL sedang menjalankan operasi pemantauan vandalisme di kawasan berkenaan apabila mereka menerima aduan mengenai khemah yang diletakkan di sebuah persimpangan di Bukit Bintang.

DBKL turut menunggu kira-kira 30 minit di lokasi selepas aduan diterima, namun tiada wakil tampil sebelum tindakan lanjut diambil.

Yeoh juga memaklumkan bahawa Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menerusi DBKL menyokong segala aktiviti dakwah termasuk penganjuran Street Dakwah di Bukit Bintang selagi penganjuran dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, DBKL sentiasa bekerja rapat dengan jabatan dan agensi lain dalam memastikan penganjuran atau aktiviti mendapat kerjasama daripada pihak berkenaan.

"Dalam hal ini, DBKL turut mendapatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Jakim melalui bahagian dakwah dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), turut mendapatkan koordinasi DBKL untuk penganjuran program Street Dakwah di Bukit Bintang.

"JWP menyokong segala usaha dakwah, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan akan memudahkan proses dan penganjuran aktiviti dakwah di Kuala Lumpur mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.

Pada 18 Februari lalu, pegawai DBKL menurunkan khemah kumpulan berkenaan kerana melanggar peraturan yang melarang halangan di laluan pejalan kaki.

Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan bahawa mereka tidak pernah menghalang aktiviti dakwah awam, dan tindakan penguatkuasaan itu bertujuan memastikan penggunaan ruang bandar yang selamat dan teratur.

DBKL telah memulangkan semula peralatan yang disita kepada MRM susulan satu pertemuan di ibu pejabatnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS