Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan buat isteri, Wan Azizah Wan Ismail sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-46, hari ini.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar menyifatkan Wan Azizah sebagai individu yang sentiasa setia mendampinginya dalam mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tempoh berkenaan.
"Selamat ulang tahun perkahwinan ke-46 buat Azizah, cinta hati yang setia mendampingi dalam setiap suka dan duka.
"Terima kasih atas kasih sayang, pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus. Semoga Allah SWT terus memelihara dan memberkati perjalanan hidup kita," katanya.
Hantaran tersebut turut disertakan dengan tanda pagar #SampaiSyurga serta gambar pasangan itu yang sering dilihat bersama, termasuk ketika masih muda.
Anwar dan Wan Azizah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 1980 dan dikurniakan enam cahaya mata.
Sepanjang penglibatan politik Anwar, Wan Azizah dikenali sebagai tonggak utama keluarga, terutama ketika suaminya berdepan siri pemenjaraan dan krisis politik sebelum diangkat sebagai perdana menteri ke-10 pada November 2022.
