Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat diasaskan suami Heliza didakwa buat perniagaan sekuriti tanpa lesen

Sebuah syarikat pelaburan yang diasaskan usahawan Mahadi Badrul Zaman didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.

Syarikat AUF MBZ Consortium PLT selaku Orang Kena Saman (OKS) dan diwakili Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, AUF MBZ Consortium PLT didakwa telah menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah vila di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 dan 15 Feb 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) K Mageswari tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan dibuat terhadap syarikat dan bukannya individu.

"Pihak kami (pendakwaan) memohon supaya kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen sebelum ini untuk dibicarakan bersama kes dihadapi Mahadi," katanya dan perkara itu tidak dibantah oleh peguam Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili suami kepada selebriti Heliza Helmi itu.

Izralizam kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes berkenaan dan menetapkan 10 April ini untuk sebutan kes.

Isnin lepas (23 Feb), Mahadi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen sah. 

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS