Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tukang cat warga emas didakwa pecahkan 13 skrin ATM guna batu
Diterbitkan:  Feb 26, 2026 5:04 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Seorang tukang cat warga emas hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan memecahkan 13 skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di tiga bank di sekitar Jinjang dekat sini, minggu lepas.

Leong Kuen, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan empat Majistret iaitu Aina Azahra Arifin, Atiqah Mohamed Saim, Nurul Izzah Hasan Basri dan Faezahnoor Hassan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat itu menggunakan batu dan tangan antara 8 pagi 16 Feb hingga 9.44 malam 17 Feb lepas sehingga menyebabkan kerugian masing-masing berjumlah RM45,183.20 kepada Maybank dan RM24,257.76 kepada RHB Bank.

Leong juga berdepan satu lagi pertuduhan khianat dengan cara menumbuk panel penutup mesin deposit tunai di Maybank Jinjang Selatan sehingga mengakibatkan kerugian RM800 kepada Maybank pada 10 malam 16 Feb lepas.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan di Public Bank, Maybank dan RHB Bank sekitar Jinjang Utara dan Jinjang Selatan, Kepong di sini mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM14,300 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 7 serta 20 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh, Nur Farhana Mohamad Poad, Nurul Farhanah Arul Hisham dan Nurainizatul Farhana Zainal manakala Leong tidak diwakili peguam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS