Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan teknikal hari ini susulan terdapat tren terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan di empat stesen berbeza, yang menjejaskan kekerapan jadual perjalanan.
Rapid KL memaklumkan bahawa insiden tersebut melibatkan Stesen Kelana Jaya, Stesen Damai, Stesen Masjid Jamek, dan Stesen Gombak.
“Keadaan ini akan menyebabkan perubahan sementara pada kekerapan tren dan penjadualan akan dilaraskan secara automatik," kata pengendali pengangkutan awam itu menerusi media sosial.
Pihak operasi sedang menjalankan pelarasan jadual secara automatik bagi meminimumkan impak kepada penumpang di sepanjang laluan berkenaan.
"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku," tambah kenyataan itu lagi.
Setakat laporan ini ditulis, pihak Rapid KL tidak memperincikan punca sebenar kerosakan teknikal tersebut atau anggaran masa untuk perkhidmatan kembali pulih sepenuhnya kepada kekerapan asal.
Pada Isnin, laluan yang sama mengalami isu teknikal berulang melibatkan sistem brek kecemasan dan peranti kawalan tren.
Perkara itu mengundang kemarahan pengguna di media sosial, khususnya yang menggunakan perkhidmatan itu untuk ke berulang ke tempat kerja.
Sehari kemudian, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengarahkan pengendali pengangkutan awam, Prasarana Malaysia Bhd menjelaskan gangguan itu dan mengemukakan rancangan pemulihan.
Dia turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat menyiasat dan bertindak tegas, jika terbukti berlaku kelemahan operasi yang tidak munasabah.
