Dua lagi individu ditahan bersabit kes melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam pada pagi Rabu lepas.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kedua-dua tangkapan terbaru itu melibatkan lelaki berusia 51 dan 58 tahun.
“Hasil tangkapan kumpulan pertama sebelum ini dan selepas siasatan lanjut, kami mengenal pasti dua lagi suspek yang membawa kepada tangkapan terbaru malam tadi," katanya semasa sidang media hari ini.
Dia berkata kedua-dua suspek akan disoal siasat dalam tempoh 24 jam pertama, dan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman selepas itu.
Terdahulu, Saifuddin melawat pintu masuk AKPS di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang turut dihadiri Ketua Pengarah agensi berkenaan Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah.
Dia juga berkata susulan insiden tembakan itu, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M Nasir telah memaklumkan polis bahawa dirinya diekori individu tidak dikenali sebelum kejadian.
Saifuddin berkata Mohd Nasaruddin turut memberikan maklumat berkaitan fizikal dan perwatakan individu yang dipercayai mengekorinya sekali gus membantu polis membuat pemprofilan sebelum menahan kedua-dua suspek.
Sebelum ini, polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita Thailand berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun yang disyaki terlibat dalam kes itu dalam beberapa serbuan di Bukit Kayu Hitami dan Padang Besar, Perlis pada hari yang sama selepas kejadian.
Insiden itu menyaksikan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dipandu Mohd Nasaruddin ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin di sana, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.
Suspek yang menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa.
-Bernama
