Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembayaran dividen berdasarkan baki setiap akaun - KWSP
Diterbitkan:  Feb 28, 2026 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus akan turut dikreditkan ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) berdasarkan baki akaun tersebut, kata ketua pegawai eksekutif badan itu, Ahmad Zulqarnain Onn.

Menurutnya pembayaran dividen adalah berdasarkan baki dalam akaun masing-masing, sama ada Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) atau Akaun 3.

“KWSP tidak boleh mengambil dividen tersebut dan dimasukkan ke akaun lain,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan kadar dividen KWSP bagi tahun 2025 hari ini.

Ahmad Zulqarnain berkata langkah tersebut juga diambil berdasarkan Akta KWSP 1991, iaitu dividen mesti diagihkan mengikut akaun simpanan masing-masing.

Mengenai pembayaran dividen sebanyak 6.15 peratus berbanding 6.3 peratus tahun lalu, dia berkata, prestasi pertumbuhan Bursa Malaysia sebanyak dua peratus berbanding 12 peratus pada 2024 memberi impak kepada prestasi kewangan dana berkenaan.

“Di samping itu, pengukuhan ringgit turut menyumbang kepada prestasi kewangan KWSP,” katanya.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi 2025 untuk akaun simpanan konvensional dan syariah, dengan jumlah pembayaran RM79.6 bilion.

Bagi tahun berakhir 31 Dis 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada 2024.

Mengenai cadangan tawaran pengambilalihan Sunway Bhd ke atas IJM Corporation (IJM), Ahmad Zulqarnain berkata, KWSP sebagai pemegang saham utama saham IJM belum membuat keputusan mengenai tawaran itu berikutan dana tersebut menunggu penilaian bebas yang akan dikeluarkan pada 16 Mac.

“Kemudian kami akan meneruskan proses tadbir urus masing-masing dari segi membuat keputusan sama ada untuk menerima tawaran tersebut atau tidak,” katanya.

Dilaporkan KWSP memegang 20 peratus kepentingan dalam IJM manakala Permodalan Nasional Bhd memiliki bawah 13.5 peratus, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) sebanyak 9.64 peratus, Urusharta Jamaah Sdn Bhd milik Kementerian Kewangan (2.84 peratus) dan Lembaga Tabung Haji (1.47 peratus).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS