Kedutaan Besar Malaysia di Jordan dan Kedutaan Besar Malaysia di Bahrain menggesa rakyat Malaysia di kedua-dua negara itu untuk kekal tenang dan berada di tempat yang selamat susulan serangan udara Israel ke atas Iran pada Sabtu.
Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan dalam notis konsular yang dimuatnaik di Facebook turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa merujuk kepada sumber yang sah dan arahan pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia juga adalah dinasihatkan untuk kekal berada di tempat yang selamat dan tidak berada berhampiran kemudahan ketenteraan serta menjauhi sebarang serpihan yang jatuh,” menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada pihak kedutaan melalui e-mel: [email protected] atau menerusi talian +962786660220 / + 962792707888 /+962785902400.
Menurut kenyataan itu Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan memantau rapat perkembangan semasa serangan-serangan yang berlaku ke atas Iran.
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Besar Malaysia di Manama menasihatkan semua rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke Bahrain supaya bertenang dan sentiasa peka terhadap perkembangan semasa menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan Bahrain, pihak berkuasa tempatan serta pengumuman syarikat penerbangan untuk maklumat terkini berkaitan perjalanan dan keselamatan.
Kedutaan itu turut menggesa rakyat Malaysia supaya berada di dalam bangunan atau di lokasi yang selamat serta menjauhi tingkap.
“Kedutaan di Mahooz juga dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang memerlukan perlindungan. Sila berhati-hati, patuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan elakkan menyebarkan maklumat yang tidak disahkan,” menurut kenyataan itu dalam satu hantaran di Facebook.
Bagi bantuan konsular, rakyat Malaysia di Bahrain boleh menghubungi kedutaan di talian +973 3899 0749 (kecemasan sahaja) atau e-mel: [email protected].
- Bernama
