Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kuil Taman Cuepacs: Exco kata selesai, pihak kuil minta hitam putih

Isu pertikaian akses jalan ke Kuil Sri Maha Mariamman Taman Cuepacs yang berlarutan sejak bertahun-tahun akhirnya menemui titik noktah apabila pihak pengurusan kuil bersetuju menerima cadangan asal Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V Papparaidu, keputusan itu dicapai selepas satu pertemuan petang semalam bagi memberi penjelasan terperinci mengenai prosedur dan keputusan kerajaan.

"Sebelum ini, terdapat beberapa kesilapan komunikasi antara pihak kuil dengan pihak pentadbiran.

"Selepas penjelasan terperinci saya berikan mengenai prosedur serta keputusan yang telah dibuat, pihak pengurusan kuil bersetuju untuk menerima cadangan asal yang telah diputuskan oleh pihak Kerajaan Negeri.

"Perkara sebegini tidak perlu diperbesarkan sehingga menimbulkan salah faham. Saya berterima kasih kepada pengurusan kuil atas kesediaan berbincang demi kepentingan bersama," katanya.

Papparaidu menegaskan bahawa rundingan dan dialog secara terbuka adalah jalan terbaik bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat berhubung isu tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengurusan Kuil, Tanabalan Arumugam, berkata pihak kuil bersetuju dengan pelan kerajaan negeri tetapi dengan beberapa tambahan dalam pembinaan jalan.

"Dalam perjumpaan dengan exco, dia berjanji jalan baru dicadangkan akan bersambung dari kuil ke Taman Desa Baru (Jalan 50 meter ke kuil) dan juga Taman Koperasi Cuepacs.

"Maksudnya, akan ada tiga jalan ke kuil. Satu hanya 50 meter, satu lagi 150 meter dan cadangan asal kerajaan negeri sepanjang 6 kilometer," katanya.

Namun, Tanabalan menegaskan pihak kuil hanya akan percaya dengan penjelasan itu jika kerajaan negeri atau MPKj memberi penyelesaian secara hitam putih.

"Kita akan memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ini. Yang penting kena ada hitam putih," katanya.

Sebelum ini, isu berkenaan hangat diperkatakan selepas pihak kuil menolak cadangan pembinaan jalan baru sepanjang 383 meter dari kuil terus ke Jalan Sungai Long.

Cadangan jalan bernilai RM3.3 juta itu didakwa tidak munasabah kerana memaksa penganut berpusing jauh sedangkan laluan sedia ada hanya 50 meter.

Tanabalan turut mempersoalkan mengapa PBT menarik balik kelulusan jalan pendek melalui kawasan perumahan yang didakwanya pernah dipersetujui sebelum era kepimpinan Menteri Besar, Amirudin Shari.

Bagaimanapun, Papparaidu menjelaskan keputusan membina jalan baru dari Jalan Sungai Long adalah "penyelesaian muktamad" bagi mematuhi syarat kelulusan Kebenaran Merancang yang telah ditetapkan.

Untuk rekod, kuil tersebut didaftarkan sejak 1988, namun pembinaannya sering tertangguh akibat isu akses jalan yang tidak selesai selama lebih sedekad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS