Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOLUM | Pada pagi Sabtu 28 Februari 2026 Trump telah melancarkan perang ke atas Iran. Pada awalnya Zionis Isreal masuk melancarkan serangan bom ke atas Iran dan Lubnan.

Kemudian Amerika masuk mengebom sama. Kota Tehran, Isfahan dan Tabriz dan beberapa kota lain menjadi sasaran Israel dan Amerika. Semuanya telah dirancang dengan rapi.

Netanyahu adalah pemimpin pertama dari luar negara yang berjumpa Trump setelah Trump menang untuk kali kedua pilihan raya presiden. Pada 25 Februari 2025 dia berkata: “You are the greatest friend Israel has ever had in the White House.”

Netanyahu telah bertemu dengan Trump sebanyak tujuh kali. Kali terakhir pada 10 Februari 2026. Pertemuan kali ini diadakan kerana Amerika mahu sekali lagi mengadakan rundingan – nuklear - dengan Iran.

Media ketika itu melaporkan bahawa Trump dan Netanyahu kali ini agak tidak mesra. Ini kerana tidak ada sidang akhbar bersama seperti kebiasaan. Ditonjolkan seolah-olah Trump tidak lagi mengikut skrip Netanyahu untuk tidak meneruskan perundingan dengan Iran. Semuanya telah dirancang dengan rapi.

Rundingan Amerika-Iran berjalan di Geneva. Delegasi Iran dikepalai oleh Menteri Luar Syed Abbas Araghchi. Manakala delegasi Amerika dikepalai oleh Wakil Khas Presiden Steve Witkoff - seorang pelabur dan pemaju perumahan. Juga disertai oleh Jared Kushner ahli perniagaan dan menantu Trump.

Oman memainkan peranan untuk mempertemukan Amerika dan Iran. Menteri Luar Oman Sayyid Badr Abulsaidi menjadi orang tengah dalam perundingan di Geneva ini.

Sebaik saja bom meledak Isreal telah mengumumkan darurat. Di Lubnan, Hizbullah juga telah menjadi sasaran.

Kementerian Pertahanan Isreal mengumumkan: “Negara Israel telah melancarkan serangan awal terhadap Iran untuk menghapuskan ancaman yang dihadapi oleh Negara Israel.”

Pada pagi Sabtu itu melalui rakaman video lapan minit Trump pula mengumumkan kepada warga Amerika dan dunia: “Objektif serangan ini adalah untuk mempertahankan rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman yang akan berlaku dari rejim Iran. Rejim ini terdiri dari kumpulan ganas dan dahsyat. Aktiviti mereka mengancam secara langsung dan membahayakan Amerika Syarikat. Membawa bahaya kepada tentera Amerika, pangkalan Amerika luar negara, dan sekutu Amerika di seluruh dunia."

Rundingan sebagai muslihat

Berita awal melaporkan bom telah menewaskan Ayatollah Khamenei. Awalnya Iran menafikan kemudian secara rasmi media Iran mengumumkan Ayatollah dan beberapa anggota keluarganya telah syahid.

Serangan dari Israel dan Amerika ini semuanya telah dirancang dengan rapi. Perundingan dijalankan. Ini sebenarnya taktik untuk Amerika membeli masa untuk menghantar bala tentera darat, laut dan udara ke wilayah persekitaran Iran.

Aircraft carrier – Ibu kapal dari Laut China Selatan dan dari Caribbean memerlukan masa untuk bergerak. Justeru teater perundingan dipentaskan. Ini kali kedua teater rundingaan ini dipentaskan.

Kali pertama Isreal menyerang Iran pada 13 Jun 2025 juga ketika rundingan sedang berjalan.

Kali ini rundingan telah masuk ke pusingan ketiga. Mengikut Menteri Luar Oman Abulsaidi yang ditemu bual oleh Stesen TV CBS pada Jumaat 27 Februari 2026, rundingan di Geneva membuahkan "kemajuan tulen".

Abulsaidi yakin "perjanjian damai berada dalam tangan kami". Justeru pasukan teknikal dari Iran dan Amerika akan dihantar untuk memperinci rundingan. Kenyataan ini dilafaz pada Jumaat 27 Februari. Esoknya pagi Sabtu Israel menyerang.

Dari segi Perlembagaan Amerika, hanya Kongres Amerika yang boleh mengeluarkan arahan perang. Jelas Trump telah tidak mempedulikan Perlembagaan Amerika. Jadi kuasa apa yang lebih tinggi dari Perlembagaan Amerika”

Apa kuasa yang lebih tinggi dari Perlembagaan Amerika?

Jawabnya mudah – kuasa Zionis Israel.

Amerika kini di bawah telunjuk Zionis Israel. Amerika kini menjadi budak suruhan Israel. Negara kecil dengan 10 juta penduduk kini menguasai negara besar dengan 350 juta penduduk. Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Semuanya berpunca dari sistem elektoral demokrasi – politik mengundi dan memilih yang diguna pakai di Amerika.

Penentu sebenar dasar AS

Kita baca ketika berkempen kali kedua Trump mendakwa dirinya sebagai Presiden Damai. Dia berjanji akan menamatkan Perang Ukraine dalam masa 24 jam setelah menjadi presiden.

Mengenai Iran, ketika berkempen Trump memperlekeh Obama yang gagal berunding dengan Iran.

Trump juga berjanji akan menghapuskan apa yang dia panggil “swamp – kumbahan” di Washington DC. Trump berkempen membawa dasar MAGA – Make America Great Again atau Jadikan Amerika Gagah Sekali Lagi.

Justeru warga Amerika berduyun dan berbondong turun mengundi Donald J. Trump untuk menjadi Presiden Amerika yang ke-47.

Tapi semua menjadi janji politik yang kosong dan hampeh. Dalam realpolitik Trump berhadapan dengan empat kuasa yang betul-betul memiliki kuasa di Amerika.

Presiden Amerika hanya boneka. Ada Pak Dalang bermain wayang. Siapa Pak Dalang ini?

Pertama ialah kumpulan Yahudi Zionis yang paling berkuasa di Amerika. Kaum Yahudi Zionis ini terdiri dari ratusan bilionair yang kaya raya. Mereka dibantu pula oleh ratusan jutawan Yahudi yang memberi dana politik untuk pemilihan presiden, ahli dewan Kongres, Gabenor, Datuk Bandar dan lain-lain lembaga dalam badan politik Amerika.

Yahudi Zionis kaya raya inilah yang menentukan garis politik dan dasar luar Amerika hari ini. Tanpa dana politik dari kaum Yahudi Zionis adalah mustahil untuk masuk ke Rumah Putih.

Kedua ialah kumpulan Kristian Zionis. Mereka ini terdiri dari mazhab Protestan Evengelis – Pendakwah Kristian yang konservatif. Berjumlah lebih 30 juta. Mereka menyokong negara Israel. Menjadi tugas mereka sebagai pengikut kitab Injil untuk menunggu kedatangan Nabi Isa kali kedua ke Baitulmuqadis.

Mereka bersarang dalam parti Republikan dan gerakan MAGA. Mereka melihat hubungan Amerika-Israel melalui lensa akhir zaman. Mereka juga menyokong konsep Israel Raya berasakan janji Tuhan kepada Bani Israel.

Ketiga ialah Industri senjata. Gedung dan kilang membuat senjata ada kepentingan politik untuk meluas perniagaan senjata mereka. Pemilik industri senjata juga menentukan dasar politik Amerika. Mereka juga sama memberi dana untuk ahli-politik Amerika.

Keempat ialah apa yang dikenali sebagai Deep State – daulah terpendam. Tidak ada nama – tidak ada alamat dan tidak diketahui siapa. Daulah terpendam bergerak secara gelap dan secara tidak rasmi. Mereka memiliki pengaruh. Mereka berselirat dalam 18 lembaga risik seperti CIA dan FBI dan 16 yang lain. Sosok-sosok ini menggariskan arah dan tuju politik Amerika.

Ketiga-tiga kumpulan ini diikat pula dengan dana Yahudi Zionis yang kaya raya. Ini dibantu pula oleh segala macam media dari filem ke TV ke Tik Tok ke akhbar yang dimiliki oleh Yahudi Zionis.

Presiden dan anggota kabinet Trump hanya pekerja-pekerja yang telah mendapat kelulusan dari daulah terpendam. Mereka juga telah dipersetujui oleh industri senjata. Pengamal media akan melaporkan kenyataan dan pandangan mereka secara positif dan tidak bercanggah dengan kepentingan Israel.

Justeru, secara mudah tentera Amerika berperang untuk Israel.

Hegemoni Timur Tengah

Perang Iran ini telah ada dalam kepala Netanyahu semenjak 30 tahun lagi. Iran wajib dimandulkan.

Mesir mandul tahun 1974. Presiden Sadat menyerah di Camp David. Saddam dan Iraq hancur tahun 2003. Libya dan Gadaffi musnah pada tahun 2011. Syria menjadi tanah jajahan baru Israel satelah kerajaan Bashar al-Assad runtuh ada 8 Disember 2024.

Perang hari ini – bom yang digugurkan di kota-kota di Iran adalah sebahagian dari projek untuk memandulkan Iran.

Israel mahu menjadi hegemoni untuk negara Timur Tengah. Israel mahu menjadi satu kuasa di Timur Tengah yang akan mengawal semua wilayah dari Mesir hingga ke Iraq.

Justeru kerajaan Islamik Republik Iran wajib di musnahkan. Jika boleh Iran akan di pecah-pecahkan menjadi wilayah Kurdish, menjadi wilayah Arab, menjadi wilayah Parsi dan wilayah Baluci.

Presiden Trump menyimpan harapan dalam seminggu dua Iran akan runtuh. Kerajaan baru akan muncul. Tapi mimpi dan angan-angan Trump ini akan gagal kerana rakyat Iran telah bersumpah dengan janji sejati untuk menuntut bela kematian Ayatollah Khamenei.

Ada satu perkara yang tidak difahami oleh Israel, Trump dan konco-konconya. Perkara ini ialah wujudnya dalam mazhab Syiah, konsep syahid. Ini adalah konsep kematian secara mendalam telah dibentuk oleh warisan sejarah, teologi, dan rohani Pertempuran Karbala.

Pengorbanan dan kematian Hussein cucu Nabi Muhammad di Karbala menjadi ikutan mazhab Syiah.

Kesyahidan tidak dilihat hanya sebagai kematian yang tidak disengajakan, tetapi sebagai tindakan yang sedar, sukarela, dan transformasi untuk menyaksikan kebenaran, berfungsi sebagai sumber pembaharuan rohani, sosial dan politik yang kuat dan kekal.

Justeru Perang Iran ini bukan berjangka pendek seperti harapan Trump. Tapi perang mencari syahid untuk warga Iran.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS