Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menangani segera isu ketidakseimbangan bilangan pengundi antara kawasan Parlimen dalam proses persempadanan semula yang sedang dijalankan.

Naib Pengerusi Amanah Johor itu berkata SPR perlu menetapkan prinsip yang jelas, iaitu jumlah pengundi di kerusi Parlimen terbesar tidak boleh melebihi dua kali ganda berbanding kerusi terkecil.

Menurut Suhaizan, perbezaan bilangan pengundi yang terlalu ketara ketika ini menyebabkan nilai undi penduduk di kawasan bandar seolah-olah "dihukum" dan kurang bernilai.

"Ambil contoh kawasan Parlimen Bangi yang mempunyai 246,795 pengundi dalam pilihan raya 2022. Kerusi ini dimenangi oleh Syahredzan Johan dari DAP dengan majoriti hampir 70,000 undi.

"Begitu juga dengan Parlimen Kota Raja yang dimenangi oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dengan majoriti 73,998 undi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia turut menyenaraikan beberapa kawasan padat di Lembah Klang seperti Titiwangsa, Shah Alam, Damansara, Petaling Jaya, Wangsa Maju, dan Ampang yang lazimnya dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

Bandingkan Bangi dengan Sik, Jeli

Sebaliknya, Suhaizan menarik perhatian kepada kerusi yang mempunyai jumlah pengundi jauh lebih kecil seperti Sik di Kedah dan Jeli di Kelantan.

Berdasarkan data rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2022, jumlah pengundi di Sik, Kedah adalah hanya seramai 63,126 orang manakala di Jeli, Kelantan pula hanya 59,798 orang.

Katanya, calon PAS atau Perikatan Nasional (PN) bertanding di kawasan yang mempunyai kurang daripada 60,000 pengundi secara keseluruhan, sekali gus menunjukkan agihan yang tidak seimbang.

"Keadaan ini menunjukkan wujudnya pembahagian undi yang tidak seimbang dan perlu ditangani oleh SPR.

"Tidak adil untuk menghukum pengundi bandar dengan menjadikan undi mereka kurang bernilai berbanding pengundi di kawasan yang jauh lebih kecil," tegasnya.

Geografi bukan alasan di Semenanjung

Mengulas mengenai hujah keluasan geografi yang sering digunakan untuk mewajarkan kerusi kecil, Suhaizan berkata hujah itu mungkin terpakai di Sarawak, namun tidak relevan bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia.

Dia memberikan contoh Batang Sadong di Sarawak yang mempunyai keluasan lebih besar daripada negeri Selangor, tetapi menegaskan situasi di Semenanjung adalah berbeza.

"Hakikatnya, ketidakseimbangan ini sudah lama terbina dalam sistem pilihan raya kita.

"Kesilapan masa lalu perlu diperbetulkan dalam proses persempadanan yang sedang dijalankan tahun ini supaya perubahan tersebut boleh berkuat kuasa sebelum pilihan raya umum akan datang," katanya lagi.

Untuk rekod Batang Sadong di Sarawak mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 32,640 orang.