Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM umum tiada rumah terbuka Aidilfitri sebagai langkah berjimat

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan tiada penganjuran rumah terbuka bagi sambutan Aidilfitri untuk agensi kerajaan sebagai langkah penjimatan bagi mendepani kesan konflik Asia Barat.

Anwar berkata, ini bagi memastikan kerajaan tidak terjebak dengan keadaan yang lebih parah ataupun memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Sebagai tanda pimpinan (kerajaan) mulakan yang lebih positif semua agensi kerajaan tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri.

"Ini satu mesej supaya perbelanjaan lebih berjimat...kita waspada dan berjimat, jangan nanti kita terjebak dengan (kemelut) lebih parah," katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Anwar berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bertujuan memberi mesej jelas bahawa kerajaan komited mengambil pendekatan lebih sederhana dan berhemat dalam perbelanjaan.

“Sebagai petanda supaya pimpinan memulakan langkah yang lebih positif, saya telah memutuskan bersama dengan Jemaah Menteri tadi supaya semua agensi kerajaan dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) tidak akan menganjurkan perayaan rumah terbuka.

“Ada yang bertanya kalau keadaan terkawal, harga dan barang keperluan seperti minyak dan gas masih boleh disediakan dan mencukupi, apa keperluan kita (untuk) waspada dan berjimat?

"Saya kata ini langkah waras bagi kita supaya jangan nanti terjebak dengan keadaan lebih parah. Jadi sebaiknya ambil sikap sederhana, lebih bertanggungjawab,” kata Anwar yang juga menteri kewangan.

Selain pembatalan majlis rumah terbuka, Anwar berkata menteri dan anggota pentadbiran turut dihadkan daripada melakukan lawatan ke luar negara, kecuali bagi urusan yang telah dijadualkan atau wajib dihadiri.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan di Asia Barat dan merancang langkah untuk memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS