Salahuddin: Pembunuhan Adun manifestasi dasar tidak demokratik BN
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memandang serius kejadian pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, Datuk S Krishnasamy baru-baru ini kerana ia menjadi ancaman baru terhadap politik negara hari ini.
"Bukan menjadi satu budaya dalam politik negara ini, sesuatu masalah atau perselisihan diselesaikan secara kekerasan atau keganasan," kata Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub.
Bagaimanapun, katanya, DPP melihat perkara ini sebagai satu manifestasi daripada amalan tidak demokratik kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya sentiasa menghalang rakyat "menyampaikan suara hati mereka mengikut saluran undang-undang yang adil".
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memandang serius kejadian pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, Datuk S Krishnasamy baru-baru ini kerana ia menjadi ancaman baru terhadap politik negara hari ini.
"Bukan menjadi satu budaya dalam politik negara ini, sesuatu masalah atau perselisihan diselesaikan secara kekerasan atau keganasan," kata Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub.
Bagaimanapun, katanya, DPP melihat perkara ini sebagai satu manifestasi daripada amalan tidak demokratik kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya sentiasa menghalang rakyat "menyampaikan suara hati mereka mengikut saluran undang-undang yang adil".
Salahuddin berkata, kes pembunuhan wakil rakyat bukanlah satu isu yang baru dalam politik di negara ini walaupun ia belum menjadi satu budaya.
"Sebelum ini, dua wakil rakyat PAS pernah dibunuh pada 1960-an, sebelum pembunuhan Speaker DUN Negeri Sembilan pada 1980-an. Kali terakhir wakil rakyat dibunuh ialah pada tahun 2000, iaitu ADUN Lunas, Dr Joe Fernendez.
"Ini tidak termasuk pembunuhan pemimpin Wanita Umno di Sabah dan pemimpin Pemuda MCA di Kedah. Ini menunjukkan bahawa dalam tempoh kebelakangan ini, telah menjadi trend di kalangan golongan tertentu untuk melakukan kekerasan ke atas ahli politik," katanya.
'Rakyat dihalang bersuara'
Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Krian berkata, DPP bimbang dengan perkembangan yang begitu negatif terhadap kestabilan politik negara.
"Kebimbangan ini bertolak daripada pengalaman beberapa negara, khususnya di Asia Selatan seperti India, Pakistan dan Sri Lanka yang mulai menular budaya membunuh pemimpin politik.
"Di Asia Selatan, satu kawasan yang mempunyai hubungan primordial dengan MIC, telah tercetus budaya pembunuhan politik ini kerana dasar rejim pemerintah yang menyekat rakyat untuk bersuara secara bebas dan amalan budaya rasuah dan penyelewengan di kalangan pemimpin politik," katanya.
Di Malaysia hari ini, katanya, sekatan ke atas kebebasan rakyat telah menjadi pengetahuan umum.
"Media massa dikuasai oleh parti pemerintah, kemudian rakyat dihalang daripada bersuara secara bebas, termasuk berhimpun secara aman. Akta-akta zalim seperti Akta Polis, ISA, Akta Hasutan dan lain-lain disalahgunakan untuk menghalang rakyat daripada menggunakan saluran demokrasi untuk menegur kezaliman kerajaan.
"DPP mengesyaki pembunuhan ini ada kaitan dengan penindasan politik atau penyalahgunaan kuasa pemimpin ke atas rakyat, sedangkan rakyat tidak diberi peluang untuk memberi tindak balas secara demokratik.
Tolak anggapan Johari
"Akibatnya, rakyat telah bertindak di luar batas undang-undang apabila kemarahan mereka tidak dapat dikawal. Kerana itu DPP menolak anggapan Datuk Johari Baharum bahawa pembunuhan ini tidak ada kaitan dengan politik," kata Salahuddin.
Sehubungan itu, DPP menyeru kerajaan BN supaya mengambil iktibar daripada peristiwa pembunuhan tersebut untuk mengembalikan hak demokrasi dan kebebasan kepada rakyat.
"PAS secara terbuka menolak pendekatan kekerasan ini dan PAS tidak mahu pergolakan politik yang tercetus di Asia Selatan merebak ke negara ini. Kerana itu, DPP Pusat mendesak kerajaan BN berhenti daripada terus menindas rakyat.
"Rakyat mesti diberikan kebebasan bersuara yang sebenar. Selain hak untuk bercakap, hak berpersatuan dan hak berhimpun, rakyat juga mesti diberikan layanan yang adil dalam pembangunan negara," katanya.
Menurut Salahuddin lagi, proses pilihanraya yang adil juga mesti disediakan untuk membolehkan rakyat melepaskan perasaan mereka kepada pemimpin dan kerajaan mengikut saluran yang betul.
"Jika kebebasan dan hak rakyat terus disekat, tidak mustahil siri-siri pembunuhan politik seperti akan terus berlaku pada masa hadapan," tambahnya.

