Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Beberapa gunung berapi tunjuk peningkatan aktiviti di Indonesia
Diterbitkan:  Mar 12, 2026 9:09 AM
Dikemaskini: 1:09 AM

Beberapa gunung berapi di Indonesia menunjukkan peningkatan aktiviti sejak beberapa hari kebelakangan ini dengan letusan dilaporkan dan pihak berkuasa menggesa penduduk agar terus berwaspada, menurut laporan Xinhua.

Gunung Lewotobi Laki-laki di Flores Timur, wilayah Nusa Tenggara Timur, meletus selama hampir dua minit pada pagi Rabu dengan abu gunung berapi naik kira-kira 800 meter di atas puncak, menurut pegawai pemantauan tempatan.

Terdahulu pada hari yang sama, Gunung Semeru (gambar atas) di Jawa Timur meletus sekali lagi, menandakan letusan ke-32 dalam tempoh seminggu, dengan abu menjulang kira-kira 400 meter di atas puncak.

Sementara itu, Gunung Merapi di Jawa Tengah juga kekal aktif pada Rabu, dengan aliran lava pijar dilaporkan mengalir sehingga 1.8 kilometer ke arah Sungai Sat.

Agus Budi Santoso, Ketua Pejabat Pemantauan Merapi di Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi berkata aliran magma masih berterusan dan keadaan itu berpotensi mencetuskan aliran piroklastik.

Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, yang mempunyai lebih 120 gunung berapi aktif.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS