Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 dari anak Hamzah

Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima wang RM50,000 tanpa balasan daripada anak bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, lapan tahun lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan) SSM, Khuzairi Yahaya, 55, didakwa menerima untuk dirinya suatu benda berharga dengan tiada balasan iaitu wang tunai RM50,000 daripada Muhammad Faisal Hamzah sedangkan tertuduh mengetahui Muhammad Faisal mempunyai hubungan dengan urusan rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SSM@Sentral di Kuala Lumpur, pada Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

"Saya mohon mahkamah mempertimbangkan faktor kemungkinan tertuduh melarikan diri serta jumlah jaminan RM15,000 adalah munasabah memandangkan kesalahan ini adalah serius. Oleh itu, wajar syarat tambahan ini dibenarkan," kata Mohd Fadhly.

Peguam Muhamad Aizat Fakri yang mewakili tertuduh tidak membantah jaminan serta syarat tambahan tersebut.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 20 April depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS