Malaysian Football League (MFL) mengesahkan pendaftaran tiga pemain warisan daripada JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero sebagai pemain tempatan adalah mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia 2025-2026.
MFL merujuk kepada manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, di bawah peraturan pertandingan, Artikel 3: sistem pendaftaran dan perpindahan pegawai dan pemain; 3.3 sistem pengurusan maklumat bola sepak FAM MyPass (Fifa connect); Perkara C, pemain tempatan dan asing iaitu mewajibkan salinan kad pengenalan berwarna atau salinan passport berwarna.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan bahawa perkara ini turut dijelaskan menerusi surat pekeliling kepada semua kelab bertarikh 12 Jun 2025.
“Jelas empat pemain ini telah melalui proses pendaftaran mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan Liga Malaysia 2025-2026.
“Justeru MFL mengesahkan tiada pelanggaran peraturan dilakukan dalam pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero oleh kelab mereka pada musim ini.
“Bagaimanapun empat pemain berkenaan masih perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan dalam perlawanan rasmi seperti yang telah diputuskan oleh Fifa dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini,” kata MFL dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu empat pemain berkenaan bersama tiga lagi pemain iaitu Imanol Machuca, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado dikenakan hukuman oleh Fifa susulan daripada kes pemalsuan dokumen.
CAS sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain itu terhadap hukuman Fifa dan memutuskan mereka tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan serta denda CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM adalah wajar, setimpal dan tetap berkuat kuasa.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan, larangan untuk bermain perlawanan bermula pada 5 Mac 2026, mengambil kira tempoh dari 25 Sept 2025 hingga 26 Jan 2026 di mana penggantungan telah dilaksanakan secara berkesan.
