Loh Mui Fah, ahli perniagaan yang mengaku anak lelakinya merakam klip video Lingam, mula memberi keterangan pagi ini kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat dakwaan berlakunya pengaturan pelantikan dalam badan kehakiman.

Loh, 58, memberitahu Malaysiakini Sabtu lalu bahawa beliau dan anak lelakinya itu, Jwo Burne, 33, berada di rumah peguam Datuk VK Lingam untuk makan malam pada Disember 2001.

Beliau berkata, anaknya itu, yang minat mengambil gambar, telah merakamkan perbualan telefon antara Lingam, didakwa dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Sheikh Ahmad Fairuz Abdul Halim.

Loh mendakwa, ia dilakukan tanpa pengetahuan Lingam dengan menggunakan kamera yang juga boleh merakamkan video.

Beliau juga mengesahkan bahawa Gwo Burne yang merakamkan video tersebut dan beliau adalah orang yang dilihat dalam klip video selama 14 minit itu.

Gambar-gambar yang diambil oleh Gwo Burne pada malam tersebut, juga dikemukakan di mahkamah.

Ini termasuk satu gambar yang menunjukkan Loh yang bercukur rapi (kanan, tengah) sedang berbual dengan Lingam dan adik perempuannya.

Lingam yang dibawa ke bilik mahkamah hari ini, dikenalpasti oleh Loh sebagai orang yang makan malam bersamanya itu.

Peguam hanya berada dua minit di mahkamah dan kemudian beredar selepas Loh mengenalpastinya.

Awal pagi tadi, peguam Wee Choo Keong yang mewakili adik lelaki Lingan - V Thirunama Karasu - telah memohon kepada suruhanjaya untuk memanggil pelanggannya itu sebagai saksi.

Thirunama tidak termasuk dalam senarai 17 orang saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan oleh suruhanjaya diraja itu yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor.

Suruhanjaya itu telah memulakan siasatannya semalam dan berlangsung sehingga 25 Januari ini.