Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar umum cuti tambahan sempena Aidilfitri
Diterbitkan:  Mar 15, 2026 1:56 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Kerajaan bersetuju memberikan cuti tambahan sehari bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini bagi menghargai usaha dan dedikasi rakyat yang bekerja keras sepanjang Ramadan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penetapan tarikh cuti tambahan itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh pengisytiharan 1 Syawal kelak.

Perdana Menteri berkata sekiranya Aidilfitri disambut pada Jumaat (20 Mac), kerajaan akan menetapkan Isnin (23 Mac) sebagai cuti tambahan.

“Sebaliknya, kalau hari raya jatuh pada Sabtu (21 Mac), maka cuti tambahan ialah pada Jumaat (20 Mac),” katanya ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Kota Kinabalu hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali serta timbalannya, Fuziah Salleh.

Anwar berkata keputusan kerajaan mengumumkan pemberian cuti tambahan lebih awal bertujuan memudahkan rakyat di seluruh negara merancang perjalanan masing-masing.

“Kita beri cuti Aidilfitri ini kerana lihat semua sudah kerja kuat pada bulan Ramadan ini, raikan Aidilfitri ini dengan penuh ceria bersama dengan keluarga tercinta,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri selama 15 hari bermula 14 Mac ini yang meliputi tempoh tujuh hari sebelum dan tujuh hari selepas perayaan bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan.

“KPDN telah mengenal pasti jenis barangan yang dikawal mengikut lokasi, iaitu 24 barangan di Semenanjung, 23 barangan di Sabah dan Sarawak, serta 22 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Anwar juga berkata terdapat sedikit cabaran kenaikan harga melibatkan cili merah berikutan gangguan bekalan susulan banjir besar yang melanda negara pengeksport, iaitu Thailand.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri menasihati pengguna agar mempertimbangkan penggunaan cili kering sebagai alternatif sementara KPDN memperinci senarai barangan kawalan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS