Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Marzuki dakwa Hamzah kini cuba pecahkan Bersatu dari luar
Diterbitkan:  Mar 16, 2026 11:12 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Seorang pemimpin Bersatu yang dekat dengan presiden parti itu mendakwa, Hamzah Zainudin sedang menjalankan perang psikologi dari luar untuk menggugat kekuatan parti yang didakwanya sedang dibina semula.

Bekas setiausaha kanan Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, berkata ketika ini sebenarnya Bersatu kembali aman dan hubungan dengan parti komponen PN semakin kukuh.

Mengulas dakwaan Hamzah bahawa Bersatu sedang cuba berbaik-baik dengan PKR, Marzuki berkata, mereka sebaliknya sedang mengukuhkan kembali kekuatan selepas Hamzah dan penyokongnya tiada lagi dalam parti berkenaan.

“Sudah-sudahlah... bagi saya ini cuma psywar beliau (Hamzah) untuk memecah-belahkan Bersatu dari luar, dan merenggangkan hubungan Bersatu dengan parti-parti anggota PN.

"Bersatu telah kembali aman dengan ketiadaan kumpulan yang memecah-belahkan parti.

“Bersatu sedang membina semula perpaduan dan kekuatan parti," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Semalam media memetik Hamzah sebagai berkata, “kebanyakan” anggota jawatankuasa penaja Bersatu melibatkan individu yang ada kaitan dengan PKR sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai hala tuju parti pembangkang tersebut.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa maklumat tersebut diperoleh daripada rakan parti di seluruh negara.

"Saya dimaklumkan majoritinya datang dari PKR dan saya melihat seolah-olah ada usaha untuk membawa Bersatu lebih dekat dengan PH,” katanya dipetik BH Online.

Hamzah membuat dakwaan berkenaan dengan mengaitkan pemecatannya kerana didakwa mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, di Bangkok pada awal Dis lahun lalu.

Marzuki berkata, ahli akar umbi Bersatu positif dengan situasi pada ketika ini dan sedang giat memperkukuhkan parti kerana tiada lagi "gangguan" dari dalam.

Bahkan katanya huhungan Bersatu dengan PAS yang sebelum ini dingin kini telah pulih dan menjadi petanda baik buat PN.

"Jadi pesan saya kepada Datuk Seri Hamzah, janganlah cuba memecah-belahkan Bersatu dari luar dengan cerita yang karut-marut.

“Cubaan Datuk Seri untuk memecah-belahkan Bersatu dari dalam telah gagal. Ramai ahli yang setia dengan parti tidak gemar dengan tindak-tanduk Datuk Seri.

"PN juga semakin stabil dan kukuh. Kepimpinan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baru mendapat dokongan penuh kepimpinan Bersatu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS