Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ART terbatal: PN tuntut penjelasan, sidang khas parlimen
Diterbitkan:  Mar 16, 2026 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

PN menggesa Putrajaya segera memberikan penjelasan menyeluruh mengenai status sebenar perjanjian perdagangan timbal balas (ART) dengan AS selepas ia dilaporkan terbatal susulan keputusan mahkamah agung negara itu.

Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata disebabkan isu itu melibatkan kepentingan perdagangan serta hubungan ekonomi strategik Malaysia - AS, kerajaan wajar memanggil sidang khas parlimen bagi membolehkan ahli-ahlinya diberikan taklimat penuh.

Selepas itu, kata Takiyuddin, isu berkenaan wajar dibahaskan secara terbuka dan bertanggungjawab.

“Ini termasuklah persoalan berkait hala tuju hubungan perdagangan antara Malaysia dengan AS, selain menunaikan hak parlimen untuk diberitahu tentang apa-apa komitmen yang mungkin dibuat atau konsesi diberikan dalam rundingan sebelum ini.

“Langkah ini penting bukan sahaja untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, tetapi juga bagi membolehkan parlimen memainkan peranan wajarnya dalam memeriksa hala tuju dasar perdagangan negara dan kepentingan jangka panjang ekonomi kita,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam media melaporkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani, mengesahkan bahawa ART yang ditandatangani antara Malaysia dengan AS tidak lagi terpakai.

Kata Johari, ia susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan tarif dikenakan Presiden Donald Trump sebelum ini.

Perjanjian perdagangan itu ditandatangani Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lalu semasa lawatan Presiden AS berkenaan ke Kuala Lumpur sempena sidang kemuncak Asean.

Takiyuddin yang juga Anggota Parlimen Kota Bharu turut mempersoalkan kedudukan sebenar rundingan dan komitmen yang dibuat kerajaan dalam ART selepas ia disahkan terbatal.

“Dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat, kejelasan dasar dan keyakinan pelabur kepada Malaysia menjadi semakin penting,” katanya.

Tambah Takiyuddin PN percaya sebarang perjanjian perdagangan strategik yang mempunyai implikasi besar terhadap dasar perdagangan, ruang dasar negara serta kepentingan ekonomi nasional mesti ditangani dengan ketelusan dan penelitian institusi yang tinggi.

“Hakikat bahawa ART kini terbatal susulan perkembangan perundangan di AS mengesahkan kepentingan pendekatan yang lebih berhati-hati dan penelitian menyeluruh dibuat sebelum negara terikat dengan apa-apa komitmen perdagangan antarabangsa,” kata Takiyuddin lagi.

Dia juga memberitahu PN akan terus memantau perkembangan isu tersebut dengan teliti dan memainkan peranan proaktif bagi memastikan kepentingan Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam keputusan dasar perdagangan kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS